mdroji@bh.com.my
Sibu: Seorang lelaki disyaki ejen sindiket pemerdagangan manusia ditahan polis selepas dipercayai terbabit memperdaya seorang lelaki ke Kemboja untuk dieksploitasi sebagai ‘scammer’.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 3 November lalu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa ditipu dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan dalam sektor pelaburan luar negara oleh suspek.
“Namun, sebaik tiba di Kemboja pada Oktober lalu, mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dan didera sekiranya enggan mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dengan bantuan ahli keluarga sebelum pulang ke Malaysia dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Susulan laporan itu, katanya, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM);2007 kerana memperdagangkan seseorang bagi tujuan eksploitasi.
Dalam perkembangan lain katanya, polis turut menerima satu lagi laporan pada hari sama daripada seorang lelaki yang mendakwa dipukul dan diugut oleh kira-kira 20 individu.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan eksploitasi pekerjaan di luar negara,” katanya.
Zulkifli berkata, hasil risikan lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Ketiga-tiga suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah untuk tujuan pemerasan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau sebatan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja luar negara yang menjanjikan gaji tinggi tanpa pengesahan pihak berkuasa.
Zulkifli turut menegaskan supaya orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih mengenai kes ini di media sosial kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



