norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menyifatkan dadah adalah masalah kepada seluruh negara, bukan hanya artis sahaja.
Menurut Freddie, dalam industri seni pun yang terbabit hanya kelompok kecil sahaja dan bukan semua orang ambil dadah kerana jika ambil disiplin dan persembahan akan merosot.
“Untuk mereka berjaya dalam industri ini jauhi dan bebas daripada semua gejala negatif macam dadah. Tetapi pada masa yang sama kita haraplah ada penguatkuasaan dari segi kerajaan untuk bendung perkara ini.
“Kita pun ada banyak undang-undang ketat dan juga boleh dikatakan serius sehingga boleh digantung sampai mati dan sebagainya. Jadi ini harus dijadikan satu yang boleh mencegah perkara ini.
“Tetapi mungkin ada beberapa perkara yang perlu diambil kira antaranya penganjuran kempen-kempen kesedaran tentang dadah dan gejala negatifnya sekiranya seseorang itu sudah terjebak.
“Bagi Karyawan, kita sudah ada perbincangan dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merancang untuk mengadakan satu kempen Muzik Tanpa Dadah yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Freddie lagi, usaha perlu diteruskan kerana dadah ini macam penyakit yang bersifat tak akan pergi. Jadi kita kena teruskan dengan macam-macam usaha untuk memastikan sentiasa ingatkan masyarakat termasuk artis.
“Apapun, kalau boleh amalkan satu gaya hidup yang lebih sihat seperti sentiasa bersenam dan menjaga kesihatan daripada buat benda yang boleh merasakan kesihatan kita sendiri.
“Jadi inilah semua aspek perlu diambil oleh pihak kerajaan. Kita ada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan untuk bersama-sama membantu dalam mencegah dan mengambil tindakan terhadap permasalahan ini,” ujarnya.
Freddie berkata, peringatan mengenai bahaya dadah harus dilakukan secara berterusan oleh semua pihak agar semua orang sentiasa tahu dadah ini boleh merosakkan hidup seseorang. Begitu juga artis adalah sebahagian daripada masyarakat.
Terdahulu pada Oktober lalu, dilaporkan pengarah dan penyanyi rap, Namewee, 42, ditahan pihak polis di sebuah hotel dan turut didapati bersama-samanya mempunyai pil ekstasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




