am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah apabila melonjak ke tangga ke-25 dalam QS World University Rankings : Asia 2026.
Ia sekali gus menjadi kedudukan tertinggi yang pernah dicapai universiti itu di peringkat serantau selain menempatkan UTM dalam kelompok dua peratus universiti terbaik di Asia, sekali gus mengatasi 98.4 peratus institusi lain di rantau ini.
Pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan UTM sebagai antara universiti penyelidikan terulung negara dan institusi peneraju dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak serta jaringan kerjasama global.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UTM atas dedikasi dan usaha berpasukan yang berterusan.
“Peningkatan ke tangga ke-25 dalam QS Asia Rankings 2026 adalah detik yang membanggakan bagi UTM dan Malaysia.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen warga UTM, terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar yang telah menjunjung nilai integriti, adab serta keyakinan bahawa teknologi mesti memberikan manfaat kepada kemanusiaan dan kehidupan.
“Fokus UTM bukan sekadar pada kedudukan dalam penarafan, tetapi pada maknanya iaitu peningkatan kualiti berterusan dalam pengajaran, penyelidikan dan inovasi dalam melahirkan bakat yang dapat menjadi penyelesaian cabaran semasa dunia dan negara, serta bersedia menghadapi masa depan yang cepat berubah,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Untuk rekod, sebanyak 1,526 institusi di seluruh Asia termasuk 48 universiti dari Malaysia menyertai penarafan terbabit.
Sepanjang sedekad yang lalu, UTM menunjukkan peningkatan konsisten dalam penarafan serantau, mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap kecemerlangan dan inovasi.
UTM bermula di kedudukan ke-61 pada 2015, sebelum menembusi kelompok 50 terbaik pada 2018 dan kemudian meningkat ke-40 terbaik menjelang 2021.
UTM kemudian berada dalam kelompok 30 terbaik pada tahun ini dan petang semalam, secara rasminya UTM diumumkan sebagai universiti yang tersenarai dalam 25 universiti terbaik di Asia.
Skor keseluruhan UTM turut mencatat peningkatan ketara daripada 84.8 kepada 91.2 pada tahun ini, selaras dengan pelaksanaan pelan strategik universiti khasnya Pelan Global UTM 2012-2020 dan enVision UTM 2021-2025.
Antara pencapaian lain, UTM berada pada tangga ketujuh di Asia bagi penunjuk Jaringan Penyelidikan Antarabangsa selain UTM mencatat skor 97.4 dalam penunjuk Reputasi Akademik dan skor 97.8 dalam Reputasi Majikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




