Kes bunuh Farah dalam ladang sawit, 13 Januari tarikh keputusan representasi

Kes bunuh Farah dalam ladang sawit, 13 Januari tarikh keputusan representasi

razis@mediaprima.com.my

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh keputusan representasi dikemukakan Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani terhadap tuduhan membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, tahun lalu.

Timbalan Pendaftar, Nadia Othman menetapkan tarikh itu dalam prosiding sebutan semula kes di sini, tadi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Aida Md Zainuddin.

Nur Aida ketika ditemui berkata, pihaknya memfailkan representasi itu pada 24 Oktober lalu.

“Representasi itu difailkan untuk mengkaji semula pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

“Sebentar tadi mahkamah tetapkan 13 Januari depan untuk keputusan represantasi yang kita kemukakan pada 24 Oktober lalu,” katanya.

Pada 26 Julai 2024, Muhammad Alif didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, antara jam 9 pagi 10 Julai hingga jam 6 petang 15 Julai 2024 di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top