am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Di usia 50 tahun, S Sivanesan akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang diimpikan sejak 30 tahun lalu.
Sivanesan yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, dia berjaya menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selepas bermula pada September 2021, sekali gus merealisasikan impian yang tertangguh.
Menurutnya, cita-citanya memiliki ijazah dalam bidang undang-undang sudah lama namun pelbagai faktor termasuk kekangan kewangan dan kerjaya menyebabkan impian itu terpaksa ditangguhkan.
Katanya, pada tahun 1995, dia pernah mengikuti pengajian di University of London External Programme tetapi tidak sempat menamatkannya.
“Kini, selepas 30 tahun saya bertekad menebus impian itu walaupun sudah dianggap senior berbanding pelajar lain yang ratanya muda.
“Keputusan kembali belajar pada akhir usia 40 tahun bukan sesuatu yang mudah kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang jauh berbeza berbanding zamannya dahulu,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-17 UniSZA, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia mengakui banyak belajar daripada rakan lebih muda yang sentiasa membantu dan memberi dorongan sepanjang tempoh pengajiannya.
“Pelajar sekarang saya lihat jarang bertanya soalan kerana bimbang dianggap menunjuk atau mengada-ada.
“Tapi pada masa sama, mereka sangat menghormati satu sama lain dan mempunyai adab yang tinggi dan nilai keperibadian itu sangat saya kagumi,” katanya.
Menurutnya, minggu depan dia akan memulakan ‘chambering’ di sebuah firma guaman selepas memperoleh ijazah sarjana muda dan layak menjadi peguam bertauliah.
“Ini bukan pengakhiran sebaliknya satu langkah baharu untuk saya terus memberi sumbangan dalam bidang undang-undang.
“Saya mahu buktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai impian dan dengan ijazah yang diperoleh membuka lembaran baru buat saya menjadi seorang peguam,” katanya.
Menyentuh cabaran sepanjang pengajian, Sivanesan mengakui jurang umur antara rakan sekelas menjadi ujian terbesar.
“Kadang-kadang memang terasa janggal tapi saya percaya kuncinya ialah merendahkan diri dan cuba memahami mereka. Kalau kita ego, susah nak rapat dengan generasi muda,” katanya.
Menurutnya, pendekatan terbuka dan saling menghormati menjadikan hubungan antara generasi lebih harmoni serta membantu mewujudkan suasana belajar yang positif.
“Kita yang berumur perlu memahami rentak generasi muda. Jika tidak kita yang berusia mudah terasa hati atau tersinggung dengan perangai mereka yang berbeza dengan zaman kita dahulu.
“Tapi bila kita belajar menyesuaikan diri, hubungan itu jadi indah,” katanya yang turut berterima kasih kepada isteri, Fazilak William Timri, 48, yang banyak memberi dorongan hingga dia mampu mencapai kejayaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



