Dera pembantu rumah: 2 individu sudah didakwa di mahkamah

Dera pembantu rumah: 2 individu sudah didakwa di mahkamah

hafidzul@hmetro.com.my

Serdang: Dua individu yang dipercayai mendera seorang pembantu rumah warga asing sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pemerdagangan orang, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa wanita berusia lewat 40-an itu dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di sebuah rumah di Seri Kembangan.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat diterima, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan berusia lewat 50-an.

“Pada 24 Oktober lalu, kedua-dua suspek sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerdagangan orang dengan cara ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini menunggu sebutan semula di mahkamah.

“Manakala mangsa telah ditempatkan di bawah perlindungan menerusi Perintah Perlindungan Interim mengikut Seksyen 44(2) Akta ATIPSOM 2007 bagi memastikan keselamatan dan kebajikannya terjamin,”katanya.

Shazeli menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penderaan dan eksploitasi terhadap pekerja warga asing di negara ini.

“PDRM komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes seumpama ini bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan membanteras jenayah pemerdagangan orang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top