Riyadh: Cristiano Ronaldo akhirnya memberi bayangan bahawa dia bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak tidak lama lagi, namun mengakui keputusan itu akan menjadi antara detik paling sukar dalam hidupnya.
Penyerang Al Nassr berusia 40 tahun itu yang kini memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 952 gol untuk kelab dan negara, berkata beliau telah lama membuat perancangan bagi kehidupannya selepas bersara.
“Tidak lama lagi,” jawab pemenang lima kali Ballon d’Or itu apabila ditanya bila dia akan menggantung but.
“Saya rasa saya akan bersedia, tetapi ia akan menjadi sangat sukar,” katanya dalam temu bual bersama Piers Morgan Uncensored yang disiarkan semalam.
Tambah Ronaldo, dia sudah mula mempersiapkan diri sejak berusia 25 tahun lagi untuk menghadapi fasa selepas bola sepak.
“Saya sudah bersedia dari usia 25, 26, 27 tahun. Saya tahu tekanan itu akan wujud, tetapi saya mampu menghadapinya. Tiada apa yang mampu menandingi adrenalin apabila menjaringkan gol, tetapi segala-galanya ada permulaan dan pengakhiran,” katanya.
Ronaldo menegaskan selepas bersara, dia mahu memberi lebih banyak masa kepada keluarga dan anak-anak, selepas hampir dua dekad bergelumang dalam karier penuh kemasyhuran.
“Saya akan ada lebih banyak masa untuk diri saya, keluarga, dan membesarkan anak-anak,” ujarnya.
Bekas penyerang Manchester United itu turut mengakui masih mengikuti perkembangan kelab lamanya itu, walaupun meninggalkan Old Trafford dalam keadaan tidak harmoni tiga tahun lalu.
United mencatatkan prestasi buruk musim lalu apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15, kedudukan terendah mereka sejak 1973–74.
“Saya sedih, kerana kelab itu antara yang paling penting di dunia dan masih dekat di hati saya. Tapi mereka tiada struktur yang baik. Saya harap perkara itu akan berubah kerana potensi kelab itu luar biasa,” katanya.
Menurutnya, masalah yang melanda kelab bukan hanya berpunca daripada pengurus atau pemain, sebaliknya berkaitan keseluruhan pengurusan.
“Mereka berada di landasan yang salah. Ia bukan salah jurulatih atau pemain semata-mata. (Ruben Amorim) melakukan yang terbaik. Tapi apa boleh dibuat? Keajaiban tidak akan berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




