CPPS komitmen kerajaan pastikan pos dan kurier kekal berdaya saing

CPPS komitmen kerajaan pastikan pos dan kurier kekal berdaya saing

Shah Alam: Hari Kurier Negara 2025 diraikan dengan penuh semangat, menandakan langkah besar dalam memperkukuh industri pos dan kurier menerusi pelancaran Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) sebagai panduan utama ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berkualiti di seluruh negara.

Bertemakan “Merakyatkan Penghantaran, Menghubungkan Negara”, sambutan itu turut menzahirkan semangat kerjasama seluruh ekosistem industri dalam memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan penghantaran yang pantas, telus dan berkualiti.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), majlis yang disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dianjurkan Persatuan Syarikat-Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dan Presiden AMEC, Ronald Tan.

Fahmi berkata, pelaksanaan CPPS mencerminkan komitmen kerajaan dan industri dalam memastikan perkhidmatan pos dan kurier kekal berdaya saing, inklusif serta dipercayai rakyat. 

Katanya, kod amalan kendiri pertama industri itu menjadi penanda aras baharu untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan mudah diakses oleh semua.

“Seperti sedia maklum, CPPS dibangunkan oleh Postal Forum, badan kawal selia kendiri dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), melalui rundingan dengan kementerian, agensi kerajaan, platform e-dagang dan pertubuhan pengguna. 

“Kod ini merangkumi piawaian menyeluruh termasuk kualiti perkhidmatan, keselamatan, ketelusan maklumat dan penyelesaian aduan pengguna,” katanya.

Ketua Postal Forum, Nurhafizah Hanifah, berkata pelaksanaan CPPS akan memperkukuh keyakinan pengguna dan meningkatkan profesionalisme industri, selain memastikan sektor pos dan kurier kekal relevan serta berintegriti.

Kerjasama strategik perkukuh operasi dan daya saing

Pada majlis sama, Shopee Malaysia menandatangani Surat Kolaborasi Strategik bersama empat rakan logistik utama City-Link Express, GDEX Berhad, Pos Malaysia dan SPX Express Malaysia bagi memperkukuh operasi penghantaran di seluruh negara.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kecekapan penghantaran serta memperluas liputan ke kawasan luar bandar, seiring usaha kerajaan memperkasa ekonomi digital yang inklusif.

Sementara itu, Ronald Tan turut mengumumkan pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian Kurier (CNSF), model kerjasama pertama di ASEAN yang membolehkan syarikat berkongsi infrastruktur bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Katanya, langkah itu memastikan industri kekal mampan dan berdaya saing, sejajar dengan prinsip ekonomi Malaysia Madani.

Hargai pemain industri

Sambutan Hari Kurier Negara ini turut menghargai sumbangan lebih 120,000 tenaga kerja kurier yang menjadi tulang belakang sektor logistik negara. 

Dalam majlis itu, Anugerah MyKurier diperkenalkan bagi mengiktiraf penyedia perkhidmatan cemerlang. 

SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd menerima penarafan empat bintang, manakala Klach Courier Services Sdn Bhd dan Stargo Logistic Sdn Bhd diberi penghargaan atas komitmen mereka.

Sambutan tahun ini turut mendapat sokongan daripada Shopee Malaysia selaku penaja eksklusif bersama J&T Express dan Petronas sebagai penaja utama, melambangkan semangat kerjasama dan inovasi seluruh ekosistem industri.

Hari Kurier Negara 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan dan industri dalam memperkukuh sektor pos dan kurier sebagai nadi penghubung utama ekonomi digital negara yang terus berkembang maju.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top