mohamadridzuan@hmetro.com.my
Tidak keterlaluan dikatakan, pelakon kacak Syafi Tee kini mula menikmati momentum indah dalam karier lakonannya.
Syafi atau nama sebenarnya, Mohd Syafi Mohd Ridhuan Tee, 32, menerima pujian ramai apabila menyerlah menerusi drama bersiri Rona Bosphorus yang disiarkan di RTMKlik, sebelum ini.
Drama yang menjadi fenomena ini membuka peluang buatnya untuk sekali lagi dilamar oleh produksi SA Dinamik Sdn Bhd.
Kali ini, dia akan beraksi menerusi drama bersiri mikro bertajuk Jiran Tepi, Hati-Hati berkonsep komedi yang dihasilkan menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan RTMKlik.
“Alhamdulillah, penggambaran drama ini berjalan lancar dan sudah pun tamat. Saya pegang watak Amirul, seorang pemuda yang tinggal bersebelahan dengan Hanawati (Sharifah Rose).
“Cerita ini menarik kerana watak Amirul sendiri mulanya seorang yang ‘skema’ dan bekerja di pejabat sebelum diberhentikan. Dia sering menerima komen negatif mengenai penampilannya.
“Dari situlah, dia mula bergaul dengan kumpulan Akmal (Akmal Old Money) dan berubah menjadi seorang yang bergaya dan trendy. Inilah kelainan yang ditampilkan dalam drama ini,” katanya.
Penggambaran drama ini dilakukan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, Kuala Lumpur dan Syafi menyifatkan ia adalah satu pengalaman yang menarik.
“Saya sering bergaul dengan pelbagai golongan masyarakat, jadi ia memudahkan saya untuk ‘klik’ dengan suasana set penggambaran di kawasan perumahan seperti flat.
“Saya pernah bersekolah bersebelahan dengan satu kawasan flat dahulu dan tak nafikan adanya masalah sosial, tapi ia bukan semua. Pandangan kasar masyarakat terhadap warga flat tidak boleh dipukul rata.
“Saya puji komitmen komuniti di situ yang melayan kami dengan mesra. Flat itu pun cantik dan bersih. Semua orang boleh nampak kalau pergi ke sana. Orang-orang semua baik-baik,” katanya.
Enam tahun terbabit dalam lakonan, Syafi mengakui sering ditawarkan watak yang sama iaitu perwatakan orang baik sahaja, namun dia tidak menyalahkan penerbit dalam perkara ini.
Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan pihak produksi membuat penilaian secara luaran selain mahu menjaga sensitiviti terhadap latar belakang keluarganya.
“Tapi saya berharap untuk meneroka watak yang kontra dan lebih mencabar juga. Saya memang nak keluar dari watak sama. Saya tahu diri saya, karakter saya macam mana, emosi saya macam mana yang saya boleh tunjukkan.
“Walaupun watak saya sentiasa baik-baik, bila ada plot twist, contohnya ada babak yang saya kena marah, saya akan tunjuk sikit sisi jahat saya.
“Bila ada babak memerlukan saya marah atau bercinta untuk menunjukkan sisi yang mungkin atau tidaklah baik sangat, saya cuba buat kelainan tapi tidaklah sampai melanggar prinsip diri saya dan keluarga,” katanya.
Bercakap mengenai sisi peribadinya, Syafi berkata, dia sememangnya tidak menyukai populariti dan cuba menjauhi kontroversi.
“Fokus saya dalam lakonan ini ialah betul-betul untuk berlakon, betul-betul untuk bekerja dan betul-betul untuk menunjukkan apa yang ada dalam diri saya. Itu saja.
“Ia bukan kerana populariti kerana saya tak kejar semua itu. Saya cuba untuk elakkan kontroversi. Saya percaya kontroversi berlaku apabila seseorang tidak fokus kepada kerjaya dan tidak boleh mengawal diri.
“Saya mengamalkan ‘self-love’ yang tinggi dan sangat memilih dengan siapa saya berkawan. Saya mengutamakan vibe yang positif dan berkualiti, biarpun ini menyebabkan saya kelihatan memencilkan diri daripada rakan artis di luar waktu kerja.
“Saya cuma menghargai diri saya, menghargai masa saya. Saya menghargai kehidupan saya dengan benda paling berkualiti yang saya boleh ada dalam kehidupan saya. Selain daripada itu, saya buang,” katanya penuh mendalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




