Barcelona lega elak dimalukan Brugge

Barcelona lega elak dimalukan Brugge

Bruges: Gergasi Sepanyol, Barcelona terpaksa bangkit sebanyak tiga kali untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pemain sayap remaja, Lamine Yamal kembali menampilkan prestasi terbaik untuk pasukan kendalian Hansi Flick, membantu mereka meraih satu mata dalam perlawanan yang mendebarkan di Belgium.

Pertahanan Barca beberapa kali dirobek oleh pasukan tuan rumah apabila pemain sayap Brugge, Carlos Forbs, menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan gol untuk Nicolo Tresoldi.

Gol daripada Ferran Torres, Yamal, dan gol sendiri Christos Tzolis menyelamatkan Barcelona daripada kekalahan memalukan, meskipun mereka kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan.

Barcelona menunjukkan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini, termasuk kekalahan kepada seteru utama, Real Madrid dalam pertemuan El Clasico di La Liga.

“Ini perlawanan yang saya rasa kami patut menangi, tapi kami perlu perbaiki banyak perkara.

“Kami perlu ubah beberapa perkara, kami sedar mengenainya, kami sedang berusaha… jika anda bolos tiga gol, memang sukar untuk menang,” kata pemain tengah Barca, Frenkie de Jong kepada Movistar.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan awal di Stadium Jan Breydel menerusi Tresoldi, hasil hantaran cantik Forbs.

Skuad bimbingan Flick pantas menyamakan kedudukan menerusi Torres, yang melakukan penyudah bijak selepas menerima hantaran daripada Fermin Lopez.

Lopez hampir menjaringkan gol apabila percubaannya terkena tiang, sebelum Forbs menjaringkan gol kedua Brugge dalam pertembungan sengit antara dua pasukan yang sama-sama menyerang.

Pemain sayap Portugal itu melakukan hantaran satu-dua bersama Tzolis, menembusi ruang di belakang pertahanan Barca sekali lagi sebelum menyempurnakan peluang dengan tenang menewaskan Wojciech Szczesny.

Barcelona menyamakan kedudukan dengan satu gol cantik apabila Yamal dan Lopez mempamer gandingan sempurna untuk memecah pertahanan lawan.

Forbs mensia-siakan peluang terbaik untuk meletakkan pasukannya kembali di depan, namun apabila diberi satu lagi peluang beberapa minit kemudian, dia tidak mensia-siakannya dan menyempurnakan dengan penyudah bergaya sebelum Tzolis menjaringkan gol sendiri pada minit ke-77.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top