syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Tiz Zaqyah, akhirnya membuka mulut dan berkongsi mengenai rancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya pada tahun depan.
Tiz, 37, berkata, lelaki itu adalah sahabatnya yang dikenali sejak zaman kanak-kanak.
“Kami dah kenal lama, sejak zaman kanak-kanak. Dia bukanlah orang dalam industri, tetapi adik kepada seorang pelakon.
“Kami menetap di kawasan perumahan sama dan keluarga kami pun dah saling mengenali satu sama lain,” katanya.
Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak ditemui pada sidang media drama Impiana: Karma bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan identiti lelaki itu.
“Kami mula serius sejak setahun lalu. Perasaan itu datang secara semula jadi. Kami berkawan lama dan kemudian buat keputusan untuk berkahwin.
“Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia sekarang. Cuma buat masa ini saya belum bersedia mendedahkan identiti dirinya. Saya bimbang dengan penyakit ain.
“Insya-Allah, bila tiba masanya nanti saya akan buat pengumuman rasmi. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Tiz dan pasangannya bagaimanapun belum menetapkan sebarang tarikh spesifik untuk majlis hari bahagia mereka.
Dalam pada itu, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Nur Kasih itu juga baru-baru ini diserang keracunan makanan.
“Sebenarnya saya tak tahu pun saya ada gastrik. Kejadian itu berlaku selepas saya makan makanan pedas di sebuah medan selera. Saya memang ‘hantu’ makanan pedas.
“Ini kali pertama saya kena serangan gastrik. Masa tu saya muntah-muntah, cirit-birit dan badan lemah, sampai nak berjalan pun tak larat hingga terpaksa didukung,” katanya.
Drama Impiana: Karma lakonannya diarahkan pengarah, Eyra Rahman dan akan ditayangkan bermula 17 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




