khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kecuaian dan kesilapan membabitkan pemasangan serta pemaparan Jalur Gemilang seperti yang berlaku mutakhir ini perlu diperbaiki.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya melihat kesilapan pemasangan dan pemaparan Jalur Gemilang dalam bahan sebaran itu merentasi parti politik dan semua tempat.
“Kita dapati ada pihak yang mungkin terlalu mudah menghasilkan gambar dan imej menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga mereka tidak sempat nak kira berapa jalur yang ada, apakah susunan itu betul, bucu bintang cukup atau tidak.
“Jadi, ini satu kecuaian yang saya rasa perlu kita perbaiki. Kita semua ada peranan itu,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai insiden yang melemahkan nilai sambutan seperti pemasangan bendera terbalik yang berlaku mutakhir ini.
Fahmi dalam masa sama turut melihat hasrat komuniti untuk memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang itu hasil atau terbit daripada sanubari dan rasa cinta mereka terhadap negara.
“Mungkin dalam kedua-dua isu (seperti) pemasangan yang tersalah caranya dan penghasilan imej tidak betul, kedua-dua ini ada aspek mekanikal yang boleh kita perbaiki bersama.
“Mekanikal maksudnya, dalam kes menghasilkan imej dan gambar itu perlu diperbaiki,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai keberkesanan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Fahmi menyatakan tahap keberkesanan program kenegaraan dan patriotik berada pada tahap tinggi iaitu 91 peratus, hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melibatkan 5,044 orang responden.
“Dapatan ini adalah selari dengan objektif memperkukuh semangat kenegaraan serta jati diri rakyat Malaysia.
“Keseluruhan analisis yang dilaksanakan menunjukkan bahawa program yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran kenegaraan dan semangat patriotisme, malah turut menyemai rasa bangga serta sayang kepada tanah air merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




