am@hmetro.com.my
Tumpat: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa berhenti sekolah dan menggalas tanggungjawab untuk bekerja bagi menyara ibu dan tiga adik-beradiknya.
Tugas itu digalas Muhammad Adib Syafiq Wahid sejak tiga bulan lalu dengan berjalan sambil menjaja telur puyuh rebus dari rumahnya di Kampung Tujoh ke Pantai Geting, di sini.
Setiap hari kanak-kanak itu akan keluar dari rumah dengan membawa 200 hingga 500 biji telur puyuh rebus bersama sebotol kicap sebagai pencicah yang dijual pada harga RM3 untuk tujuh biji.
Ibunya, Salama Muda, 44, berkata, kerja itu terpaksa dilakukan bagi menyara hidup mereka selepas suaminya ditahan pihak berkuasa pada April lalu atas kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Sejak itu, Syafiq menjadi tulang belakang kami kerana saya tidak boleh keluar bekerja kerana masih ada dua anak kecil berusia dua dan empat tahun untuk dijaga.
“Lagipun kami tiada sebarang kenderaan selain basikal namun itupun sudah rosak menyebabkan Syafiq terpaksa berjalan kira-kira dua kilometer jaraknya dari rumah ke Pantai Geting.
“Setiap hari kami akan membeli sekitar 200 hingga 500 biji telur puyuh dari jiran sebelum direbus dan dijual oleh Syafiq,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Salama berkata, anak sulungnya berusia 20 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pasir Mas dan sesekali pulang ke rumah untuk menjenguk mereka sekeluarga.
Menurutnya, bukan dia tidak melarang Syafiq untuk menjaja tetapi keadaan memaksa dan anak ketiganya itu sering memberitahu, jika bukan dia yang bekerja, siapa yang akan beri mereka wang untuk beli makanan?
“Jadi saya tiada pilihan lain selain berharap suami dapat dibebaskan segera dan anak saya dapat kembali bersekolah kerana usianya masih muda untuk menggalas tanggungjawab menanggung keluarga.
“Andainya ada kenderaan atau sedikit modal, dapat juga saya buat kuih muih dan menjaja sekitar kampung, buat masa sekarang, wang hasil jualan telur puyuh sekadar dapat menampung perbelanjaan harian selain menyimpan sedikit untuk sewa rumah.
“Kerap juga kami terputus makanan dan Shafiq akan memancing ikan di paya berhampiran dan jika ada mi segera pula, saya akan masak sehingga kembang untuk mengenyangkan perut kami lima beranak,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salama di talian 01125383705 atau memberi sumbangan menerusi akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society, 03072010143853.
© New Straits Times Press (M) Bhd



