Pengeluaran ayam saga ditingkatkan untuk tampung permintaan – Mohamad Sabu

Pengeluaran ayam saga ditingkatkan untuk tampung permintaan – Mohamad Sabu

am@hmetro.com.my

Rompin: Pengeluaran ayam saga, kacukan baka ayam kampung hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan diperluaskan mulai tahun, dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta menjamin bekalan ternakan itu berterusan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata baka ayam kacukan itu dihasilkan menerusi kajian sejak 2008 serta dipasarkan lima tahun lalu.

Menurutnya, sejak 2021 hampir 1.4 juta ayam saga dikeluarkan dan pemintaannya terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan tetapi hingga kini pengeluarannya masih terhad.

“Ayam saga itu dihasilkan menerusi kacukan baka ayam kampung dari Kedah dan Johor kini sudah mencapai generasi ke-13, sesuai untuk pengeluaran daging dan telur.

“MARDI komited memperluas pengeluaran ternakan itu melalui pembangunan ladang pembaka di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Penyelidikan Ayam Saga MARDI di Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ayam saga jantan mampu membesar dengan cepat dan mencapai berat minimum 1.5 kilogram pada usia 12 minggu dan harga pasaran ialah antara RM15 dan RM25 sekilogram.

“Peneluran ayam saga betina pula lebih tinggi berbanding ayam kampung biasa dengan kadar pengeluaran telur mencapai 60 peratus dengan purata saiz telur melebihi 40 gram.

“Haiwan itu juga tahan lasak, sesuai diternak menerusi sistem separa intensif, lepas bebas atau integrasi di ladang sawit, getah dan buah-buahan,” katanya.

Beliau berkata, tujuh ladang pembaka dan rakan strategik di lima zon utama sudah dikenal pasti untuk meningkatkan pengeluaran ayam saga di seluruh negara.

Katanya, MARDI akan melatih rakan strategik itu membabitkan pelbagai aspek teknikal, pemindahan teknologi dan sistem sokongan pembiakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Usaha dilakukan itu mampu memperkukuh industri ayam kampung negara dan menyokong agenda keterjaminan makanan melalui penggunaan sumber genetik tempatan untuk manfaat rakyat dan industri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top