Dua dekad merajuk, pelakon Mat Despatch akhirnya kembali berlakon

Dua dekad merajuk, pelakon Mat Despatch akhirnya kembali berlakon

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya berhenti berlakon sebab memang kecewa dengan industri seni. Banyak sangat politik yang tak sepatutnya ada,” kata pelakon Hairul Rikyno Baharum, yang pernah popular dengan drama Mat Despatch pada penghujung 1990-an.

Menurutnya yang berkahwin pada 2005, pada masa sama juga

dia mempunyai pekerjaan sebagai jurulatih kecergasan.

“Selepas kahwin, saya terus berhenti berlakon dan industri. Saya fokus ke bidang ‘fitness’ sebab komitmen bidang itu memerlukan saya memberi tumpuan sepenuhnya.

“Saya terbabit dalam bidang ‘fitness’ sejak 1991. Dalam masa sama, saya berlakon, jadi pengurus produksi dan penolong pengarah.

“Bila tengok industri seni dah tidak begitu rancak dan nampak seperti dah mula nak menurun, daripada saya terikut sama menjunam, saya beralih arah ke bidang ‘fitness’,” katanya kepada Harian Metro.

Hairul yang kini mempunyai empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berkata, kerinduan terhadap lakonan ditambah dengan ajakan rakan-rakan membuatkan dia kembali berlakon terutamanya di pentas teater.

“Saya tergerak hati selepas hadir menonton latihan teater Batu Belah pada tahun 2023. Ketika itu saya menggantikan watak Bendahara bersama Datuk Jalaluddin Hassan, dan saya rasa inilah masa untuk saya ‘comeback’,”

“Kini saya akan membintangi teater Panglima Garang yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bermula esok dan Sabtu.

“Saya dapat galakan kuat pengarah teater ini iaitu Yusry Kamaruzaman dari Pertubuhan Teater Hidayah. Saya sebenarnya antara

ahli terawal mereka yang ditubuhkan sejak tahun 1986 sehingga kini,” katanya.

Turut berlakon ialah Aim Zackry, Siti Sarah Jamil, Zack Kool, Panglima Aduka, Along Eyzendy, Ricky, Suky San, Apai Azha, Shahril Kamil, Zani Azman, Wan Khalid Rizaila dan penampilan istimewa Roslan Madun.

Terdahulu siri Mat Despatch yang turut membariskan Ijoy Azhari, Sharifah Shahirah, Amyza Aznan, Rusdi Ramli, Azza Elite, Enot dan Zaidi Rock menjadi antara drama popular kesukaan peminat pada era terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top