Elon Musk bakal jadi trilionair pertama dunia!

Elon Musk bakal jadi trilionair pertama dunia!

San Francisco: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menari bersama robot di atas pentas selepas memperoleh kelulusan pemegang saham bagi pakej gaji korporat terbesar dalam sejarah, iaitu AS$1 trilion (kira-kira RM 4.2 trilion) pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Austin, Texas, pada Khamis.

Undian itu, yang disokong oleh lebih 75 peratus pelabur, memberi Musk, yang sudah diumumkan individu terkaya di dunia, peluang untuk menjadi trilionair pertama di dunia sekiranya mencapai beberapa sasaran pertumbuhan yang sangat bercita-cita tinggi, lapor Indiatoday.

Pakej itu mengaitkan pampasan Musk dengan prestasi Tesla, termasuk meningkatkan nilai pasaran syarikat daripada kira-kira AS$1.5 trilion (kira-kira RM 6.3 trilion) kepada AS$8.5 trilion (kira-kira RM35.5 trilion).

Saham Tesla naik kira-kira satu peratus dalam dagangan selepas waktu operasi susulan pengumuman itu, lapor agensi berita Reuters.

Beberapa saat selepas keputusan diumumkan, Musk melangkah ke atas pentas dengan senyuman, sebelum menari bersama robot humanoid Tesla, Optimus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang setulus hati kepada semua yang menyokong undian pemegang saham. Saya amat menghargainya.

“Apa yang bakal kita mulakan bukan sekadar bab baru dalam masa depan Tesla, tetapi satu buku baharu sepenuhnya.

“Mesyuarat pemegang saham lain membosankan, tapi mesyuarat kita hebat. Tengok ini. Memang luar biasa,” katanya.

Di bawah terma perjanjian itu, Musk boleh memperoleh tambahan 12 peratus pegangan dalam Tesla sekiranya beliau mencapai beberapa matlamat berani dalam dekad akan datang, termasuk:

*Menghasilkan 20 juta kenderaan setahun.

*Mengeluarkan sejuta robotaksi di jalan raya.

*Menjual sejuta robot humanoid.

*Menjana keuntungan tahunan sebanyak AS$400 bilion (RM1.67 bilion).

Kelulusan ini dibuat walaupun terdapat tentangan daripada beberapa pelabur institusi besar, termasuk dana kekayaan berdaulat Norway, yang berhujah bahawa perjanjian itu mewakili bayaran eksekutif yang berlebihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top