'Respond' Dr Afifah di hantaran 'Tok Abah' tarik perhatian netizen

'Respond' Dr Afifah di hantaran 'Tok Abah' tarik perhatian netizen

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 36, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, sekali lagi menjadi tumpuan netizen selepas meninggalkan komen penuh makna di hantaran milik pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah di platform Threads.

Menerusi perkongsian itu, Fadzilah menasihati orang ramai supaya tidak mengamalkan sikap sindir-menyindir dalam rumah tangga kerana ia boleh menggugat keharmonian hubungan.

“Sindir-menyindir seseorang cuma menyemarakkan lagi api dalam perhubungan. Seeloknya, duduk semeja, bincang dan selesaikan,” tulis Fadzilah.

Namun, hantaran itu menarik perhatian ramai apabila Afifah meninggalkan komen pendek namun cukup menyentuh hati.

“Tapi saya dah terlambat.. terlambatkah tok abah ?,” tulisnya.

Komen Afifah itu mencuri perhatian warganet yang meluahkan rasa simpati dan menitipkan kata-kata semangat buatnya.

“Bukan terlambat, doktor. Allah nak bagi kehidupan yang lebih baik,” ujar netizen.

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin Dr.. itu pilihan dia, dah puas usaha, doa, kalau masih begitu, maka itu pula perancangan Dia yg Maha Tahu..,” kata warganet yang lain.

“Allah bagi ujian buat orang yang Dia sayang. Kuat ya, Dr Fie,” kata pengguna media sosial.

Sebelum ini Nubhan memfailkan tuntutan hadanah penuh serta interim terhadap tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu turut memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang baru-baru ini.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan prosiding kes terbabit pada 2 Disember depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top