Pembedahan bariatrik atau lebih dikenali sebagai ‘potong perut’ semakin popular dalam kalangan individu yang berdepan masalah obesiti atau berat badan berlebihan.
Kaedah ini bukan sekadar untuk penampilan, tetapi turut membantu menurunkan berat badan serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
Namun, timbul kebimbangan apabila ada pihak mengambil kesempatan dengan memperdaya orang ramai kononnya berjaya menurunkan berat badan melalui produk tertentu, sedangkan hakikatnya mereka menjalani pembedahan bariatrik.
Penyanyi Datin Alyah yang pernah menjalani prosedur itu tiga tahun lalu menasihatkan agar sentiasa jujur dengan cara sebenar seseorang menurunkan berat badan.
“Kalau seseorang buat bariatrik, tak perlu sembunyikan. Cakap saja perkara sebenar. Ada yang kurus sebab pembedahan tapi beritahu kononnya hasil diet atau suplemen. Perkara macam itu tak elok sebab menipu orang lain,” katanya tanpa menujukan kepada mana-mana individu.
Isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS itu menjelaskan dia melakukan pembedahan berkenaan bagi mengatasi masalah gastrik serius yang dialaminya selama bertahun-tahun, yang menyebabkan berat badannya naik hampir 18 kilogram.
“Selepas pembedahan, bukan saja masalah gastrik berkurang, malah risiko penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol juga dapat dikawal.
“Saya nasihatkan, sebelum buat bariatrik, dapatkan pandangan daripada dua atau tiga doktor terlebih dahulu sebab kadang-kadang pendapat mereka berbeza. Dari situ baru kita boleh buat keputusan yang terbaik,” katanya.
Alyah turut menambah, keberkesanan prosedur itu juga bergantung kepada nasib individu.
“Ada yang ikut semua nasihat doktor dan tak alami sebarang komplikasi. Tapi ada juga yang sangat berdisiplin tapi tetap berdepan masalah selepas pembedahan. Jadi semuanya bergantung pada rezeki,” ujarnya.
Sementara itu, doktor perubatan Dr Afif Mohd Ridzwan berkata, ramai yang datang mendapatkan nasihat daripadanya mengenai pembedahan bariatrik.
“Ramai pesakit saya tanya tentang bariatrik. Sebagai doktor, saya berikan maklumat yang tepat dan saya sendiri akui kaedah ini sangat berkesan untuk kesihatan.
“Tapi saya tak setuju kalau ada yang buat bariatrik sebab nak kurus cepat, kemudian guna peluang itu untuk jual produk pelangsingan. Itu tindakan yang tak wajar.
“Kalau niat nak sihat, itu bagus. Tapi jangan tipu orang lain dengan dakwaan kononnya kurus sebab ambil suplemen, padahal hasil daripada bariatrik,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain itu menegaskan, pembedahan bariatrik hanya sesuai dilakukan atas sebab yang munasabah.
“Mereka yang benar-benar layak biasanya mempunyai BMI 40 ke atas, atau BMI antara 35 hingga 40 tetapi ada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi teruk, obesiti atau gangguan tidur OSA.
“Individu yang BMI di bawah 35 tapi tak dapat kawal nafsu makan juga boleh dipertimbangkan, dengan syarat perlu dapatkan nasihat dan kebenaran daripada pasukan bedah bariatrik,” katanya.
Menurut Dr Afif lagi, tidak semua individu sesuai untuk menjalani prosedur ini.
“Kalau seseorang ada masalah mental, ketagihan alkohol, penyakit kritikal atau terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mereka tidak digalakkan buat bariatrik.
“Begitu juga kalau sedar diri tak mampu ikut arahan doktor selepas pembedahan, lebih baik lupakan saja niat itu,” tambahnya.




