Washington: Lebih 1,000 penerbangan di Amerika Syarikat (AS) dibatalkan pada Jumaat apabila langkah pengurangan trafik udara mula berkuat kuasa di tengah-tengah kekurangan pengawal ketika penutupan kerajaan persekutuan paling lama dalam sejarah negara itu, lapor Xinhua.
Menurut laman penjejak penerbangan FlightAware, sehingga 5 petang Jumaat, sebanyak 4,309 penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan, manakala 1,002 dibatalkan.
Langkah itu diambil selepas Jabatan Pengangkutan AS dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan pada Rabu bahawa kerajaan persekutuan akan mengurangkan trafik penerbangan di 40 lokasi bermula Jumaat.
Pelan pembatalan penerbangan yang diwajibkan oleh FAA itu membabitkan pengurangan operasi sebanyak empat peratus pada Jumaat, meningkat kepada enam peratus menjelang Selasa depan, lapan peratus pada Khamis dan sehingga 10 peratus menjelang Jumaat berikutnya.
Pentadbir FAA, Bryan Bedford berkata, pengurangan kapasiti berjadual sebanyak 10 peratus adalah wajar bagi “mengurangkan tekanan terhadap pengawal trafik udara,” dan langkah tambahan akan diambil di pasaran tertentu sekiranya kekurangan kakitangan terus berlaku.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy pada Jumaat pula berkata, pengurangan penerbangan boleh mencecah sehingga 20 peratus sekiranya penutupan kerajaan berlarutan.
Sejak penutupan kerajaan persekutuan bermula, kira-kira 13,000 pengawal trafik udara dan hampir 50,000 pegawai keselamatan lapangan terbang terpaksa bekerja tanpa gaji.
Duffy baru-baru ini memaklumkan bahawa sebahagian pengawal trafik udara bekerja 10 jam sehari, enam hari seminggu.
Semakin ramai kakitangan mengambil cuti, menyebabkan kekurangan tenaga kerja yang serius dalam sektor penerbangan, menambah kelewatan di banyak wilayah dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan.
Data FlightAware menunjukkan ribuan penerbangan di seluruh negara mengalami kelewatan setiap hari.
Lebih 7,000 penerbangan domestik dan antarabangsa di lapor mengalami kelewatan pada Khamis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




