am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa menjalinkan hubungan baik dengan negara lain dan negeri adalah kunci untuk memperkasakan ekonomi Malaysia.
Katanya, beberapa perkara yang berjaya dikecapi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, baru-baru ini diakui menimbulkan pelbagai reaksi sama ada positif mahupun negatif.
“Kita mesti ingat. Baru-baru ini kita ada ASEAN. Kita boleh selesaikan rundingan dengan Presiden Donald Trump hari Ahad. Hari Isnin, kita boleh duduk dengan Premier Li Qiang dari China. Asasnya, fokus kita apa? Negara yang aman, mesra dengan semua negara.
“Orang marah saya sebab terlalu baik dengan China, marah baik dengan Amerika. Mereka marah saya tidak peduli. Marah atau tidak marah, saya mahu jaga negara ini supaya Malaysia menjadi negara besar.
“Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan dengan semua (walaupun) bukan kita setuju semua (perkara).
“Tapi apa yang kita sepakat? Apa yang kita fokus? Selamatkan negara ini. Kita sudah rugi banyak tahun… gaduh, politik tidak habis-habis… rugi. Mahu Semenanjung gaduh-gaduh tapi siapa yang untung? Maka kita mahu tolong rakyat… itu fokus kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Ramah Mesra PM Bersama Persatuan Industri Sabah, di sini, malam ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya Sabah harus dikekalkan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah memerlukan antara satu sama lain.
“Saya tidak mahu politik gaduh dan lupa bahawa fokus kita adalah untuk menyokong semua negeri. Kita perlu Sabah dan Sabah perlu kerajaan Persekutuan.
“Mahu bergaduh boleh. Orang atas bergaduh, orang bawah yang susah. Mahu gaduh dengan saya sebab apa?
“Saya bukan mahu curi balak Sabah. Tanya Hajiji, ada saya minta kayu balak? Tidak ada. Ada saya minta tanah? Tidak ada. Ada saya minta kontrak? Tidak ada. Saya mahu berkhidmat untuk negara ini.
“Kita bekerja bersama. Pakatan Harapan (PH) kita pun tidak bertanding banyak kerusi (untuk Pilihan Raya Negeri ke-17). Anda mahu pilih siapa? Pilih orang yang bawa kerjasama dengan kita.
“Pilih orang di Sabah supaya bersama-sama bekerja bersama kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi di Sabah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




