'Sekarang hidup saya lebih lengkap, emak sudah peluk Islam' – Muka Gangster

'Sekarang hidup saya lebih lengkap, emak sudah peluk Islam' – Muka Gangster

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Selama tujuh tahun, Muhammad Mikhael Sathayah tidak pernah putus berdoa termasuk di depan Kaabah supaya ibunya dikurniakan hidayah mengenal Islam.

Akhirnya, doa tulus Muhammad Mikhael, 41, itu dimakbulkan apabila ibunya terbuka hati untuk kembali kepada fitrah, baru-baru ini sehingga detik pengislaman warga emas itu tular di media sosial.

Muhammad Mikhael berkata, ibunya, Maimunah Sathayah Muniandy, 75, yang selama ini kekal dengan agama asal, Hindu ketika dia memeluk Islam tujuh tahun lalu, akhirnya melafazkan syahadah dalam suasana tenang dan penuh emosi, minggu lalu.

Katanya, pengislaman insan tersayang itu menjadi antara detik paling bermakna dalam hidupnya.

“Tidak pernah sekali pun saya paksa emak untuk masuk Islam kerana terlalu menghormatinya apatah lagi dia tidak pernah menghalang keputusan saya memeluk Islam pada 2017.

“Selama ini setiap kali solat, saya berdoa diam-diam, malah di depan Kaabah saya meminta bersungguh-sungguh kepada Allah supaya emak diberi hidayah, tak sangka akhirnya doa saya dimakbulkan.

“Sekarang hidup saya lebih lengkap dan sempurna kerana emak sudah peluk Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Muhammad Mikhael, ibunya menerima hidayah ketika warga emas itu diuji dengan sakit, baru-baru ini yang sempat bergurau tentang kematian.

“Emak cakap, kalau dia tak ada nanti, pandai-pandailah jaga diri. Saya diam, tetapi masa itu hati kuat sangat nak ajak (peluk Islam) dia.

“Saya beranikan diri cakap, ’emak, jom ikut saya.’ Tak sangka rupanya dia terus setuju.

“Saya terus menghubungi kenalan Ustaz Hafiz Ng untuk menguruskan pengislaman emak,” katanya.

Katanya, keputusan ibunya itu juga tidak datang secara mengejut kerana sudah lama melihat cara hidup Islam melalui dirinya dan isterinya, Murni Azwa,31, terutama selepas mereka pulang menunaikan umrah pada Oktober 2023.

“Saya dan isteri duduk di rumah bersebelahan dengan emak jadi dia sudah biasa tengok kami puasa, malah selalu ikut kami ke masjid dan majlis agama.

“Dia sendiri nampak perubahan dan ketenangan pada diri saya selepas masuk Islam,” katanya.

Sementara itu, Maimunah pula mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan dalam proses mendalami asas agama bersama ustaz yang membimbing anaknya.

“Selama ini, saya tengok hidup anak dan menantu saya bahagia dan tenang.

“Saya pun sudah tua, jadi mungkin ini jalan yang saya cari selama ini kerana sekarang saya rasa lebih tenang,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Mikhael terkenal sebagai pempengaruh yang mengelarkan dirinya sebagai ‘Muka Gangster’ di media sosial.

Dia yang berasal dari Tambun, Perak itu sering mendapat perhatian warganet terutama selepas memeluk Islam kerana kerap berkongsi video gelagat bersama ibu dan isterinya dengan kandungan menarik dan lucu sambil mengenakan imej gangster.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top