GGR Motor perkenal motosikal EV Pantera R1, R2, mampu capai 300 km untuk satu cas penuh

GGR Motor perkenal motosikal EV Pantera R1, R2, mampu capai 300 km untuk satu cas penuh

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat milik penuh Bumiputera, GGR Legacy (M) Sdn Bhd melangkah setapak ke hadapan dalam industri mobiliti elektrik negara dengan memperkenalkan dua prototaip motosikal elektrik (EV) jarak jauh buatan tempatan, Pantera R1 dan R2 yang mampu mencapai jarak sehingga 300 kilometer (km) bagi satu cas penuh.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, Pantera R1 dan R2 dibangunkan sebagai simbol kemampuan anak tempatan menghasilkan motosikal elektrik berprestasi tinggi setanding jenama antarabangsa.

Katanya, Pantera R1 dan R2 menjadi penanda aras baharu industri EV tempatan dengan kemampuan perjalanan 300 km untuk satu cas penuh.

“Kedua-dua model itu dilengkapi dua unit bateri berkapasiti 73.8V/ 116Ah, menyokong sistem pengecasan pantas (fast charging) yang mampu mengecas penuh satu bateri dalam masa 30 minit sahaja.

“Kelebihan utama Pantera ialah sistem baterinya fleksibel dan pengguna boleh mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap, bayarannya juga murah, mudah dan menjimatkan masa tanpa perlu menunggu lama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, GGR Motor memberi tumpuan kepada penghantar (rider) e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan sasaran utama kerana motosikal elektrik berpotensi menjimatkan sehingga 60 peratus kos operasi harian.

“Ini bukan sekadar pengangkutan, tetapi satu bentuk peluang ekonomi baharu untuk golongan muda dan komuniti e-hailing,” katanya.

Muhammad Musaddiq berkata, bagi memudahkan pemilikan, GGR Motor turut memperkenalkan skim pembiayaan fleksibel dengan deposit rendah dan bayaran ansuran mampu milik.

Katanya, setakat ini syarikat sudah menerima tempahan kira-kira 10,000 unit motosikal EV keluaran GGR Motor.

“Bagi tahun depan, GGR Motor akan membuka peluang kepada usahawan tempatan menjadi pengedar sah motosikal EV keluarannya, selain merancang menembusi pasaran Asia sebaik ekosistem domestik matang sepenuhnya.

“Matlamat jangka panjang kami adalah membina ekosistem EV yang lengkap, mampu dimiliki rakyat, serta menjadikan Malaysia antara peneraju industri motosikal elektrik di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top