firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!
Begitulah perumpamaan paling cocok buat peserta bertuah, Suraidah Othman yang berjaya membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah pada acara Harian Metro Active Rings Run yang berlangsung di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Suraidah, 45, mengakui terkejut apabila nombor penyertaannya 0441 ‘naik’ sebagai pemenang hadiah utama yang menyaksikan dia membawa pulang jam tangan pintar Huawei Watch GT 6 Pro (46mm).
“Saya tak sangka langsung menang cabutan bertuah ini. Nak pulak ia adalah hadiah nombor satu (hadiah utama) dalam cabutan bertuah ini.
“Padahal saya sertai acara ini hanya untuk suka-suka sahaja, tapi apabila menang saya anggap ia hari bersejarah dalam hidup saya,” katanya yang berasal dari Melaka.
Ujar pekerja swasta yang menetap di Pantai Dalam, Bangsar itu, dia sebelum ini sering menyertai acara larian di sekitar Kuala Lumpur, namun acara Harian Metro Active Rings Run meninggalkan kenangan amat manis.
“Saya selalu masuk larian tapi tak pernah menang pun. Cuma kali ini mungkin dah rezeki saya, syukur Alhamdulillah saya dapat hadiah ini.
“Dah tentu saya akan guna jam ini dan akan simpannya sebaik mungkin sebagai kenangan terindah,” katanya.
Suraidah turut memuji penganjuran yang dikelolakan oleh akhbar Harian Metro bersama rakan penaja Huawei.
Selain jam tangan pintar Huawei Watch GT 6 Pro (46mm) yang menjadi rebutan hampir 1,500 peserta acara Harian Metro Active Run, penaja turut menawarkan cabutan bertuah Huawei Watch GT 6 (41mm) dan Huawei Freebuds 6i untuk pemenang tempat kedua serta dua lagi peserta bertuah lain.
Acara Larian Harian Metro Active Rings 2025 disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, bersama Pengarah Negara (Country Director), Kumpulan Perniagaan Pengguna, Huawei Malaysia, Patrick Ru; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Media Prima Berhad, Rosli Sabarudin; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad, Jasbant Singh.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Ketua Pegawai Operasi, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Luqman Adrine Ja’Afar; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Harian Metro, Yusri Abdul Malek; Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Multigreen Events, KL Car Free Morning, Neezam Malik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




