aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, menyeru lebih banyak organisasi untuk menganjurkan program kecergasan berorientasikan keluarga bagi menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti bandar.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menyediakan ruang awam yang mudah diakses untuk aktiviti seperti ini, termasuk melalui KL Car Free Morning yang menutup jalan utama sekitar Dataran Merdeka setiap hujung minggu.
“KL Car Free Morning adalah cara kami mengembalikan bandar kepada rakyat. Kita di ibu kota ini kadang-kadang mengalami banyak tekanan dan berdepan dengan kesihatan mental dan ini adalah satu cara untuk kita menggalakkan penyertaan orang ramai.
“Dari tengah malam Jumaat hingga 5 pagi Isnin, keluarga boleh keluar, bersenam dan menghabiskan masa bersama tanpa gangguan lalu lintas kerana kami mahu galakkan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.
Beliau menyempurnakan Harian Metro Active Rings Run 2025 di Dataran DBKL hari ini, larian santai sejauh lima kilometer yang dianjurkan oleh Harian Metro dengan kerjasama Huawei dan sokongan HUAWEI WATCH GT 6 Series.
Acara itu menarik kira-kira 1,500 peserta, termasuk pelari rekreasi, keluarga, peminat kecergasan, pelancong serta golongan Orang kurang upaya (OKU).
Acara ini menandakan kolaborasi kedua antara Harian Metro, Huawei dan DBKL tahun ini, susulan kejayaan Harian Metro Batik Run 2025 pada bulan Jun, dan sekali lagi membuktikan bahawa larian santai mampu menjadi platform gaya hidup sihat dan komuniti yang meriah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




