saiful.haizan@bh.com.my
PUTRAJAYA : Kementerian Kewangan menjelaskan keputusan tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika ini dibuat berdasarkan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mencapai sasaran tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berbeza dengan PKP Mac tahun lalu, yang berjaya mengawal pandemik COVID-19 tetapi memberikan impak yang mendalam kepada ekonomi dengan kerugian RM2.4 bilion sehari.
Beliau berkata, penutupan ekonomi dijangka menyebabkan jumlah pengangguran mencecah satu juta selain memberi kesan negatif terhadap pendapatan 2.8 juta pekerja sektor informal yang kini berada dalam keadaan mudah terjejas.⠀
“Berdasarkan pengajaran daripada gelombang pertama COVID-19, tidak ada negara lain di dunia yang menutup sepenuhnya ekonomi mereka dalam menghadapi gelombang kedua dan ketiga.
“Sebaliknya mereka hanya mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan mengehadkan aktiviti sosial. Inilah juga pendekatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook, hari ini.
Tengku Zafrul yang memperincikan kesan penutupan sepenuhnya ekonomi pada PKP bermula 18 Mac hingga 3 Mei 2020, berkata ekonomi negara menguncup sebanyak -5.9 peratus pada Mac diikuti -28.8 peratus (April) dan -19.7 peratus (Mei).⠀
Katanya, penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) -17.1 peratus pada suku kedua 2020 adalah yang terbesar dalam sejarah negara dan prestasi paling buruk di rantau ASEAN
“Pelaksanaan PKP berkenaan juga mengakibatkan pengangguran meningkat daripada 3.2 peratus atau 511,700 penganggur pada Januari 2020 dan mencapai tahap 5.3 peratus atau 826,100 penganggur pada Mei 2020 (pengangguran tertinggi sejak krisis komoditi pada akhir 1980-an),” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul, berkata PKP 2.0 pula berjaya mengurangkan kes baharu COVID-19 harian daripada hampir 3,500 pada Januari lalu, kepada kurang daripada 1,500 pada Mac lalu, bagaimanapun mengakibatkan kerugian yang lebih rendah iaitu RM300 juta sehari.
Katanya, pendekatan PKP 2.0 yang lebih bersasar berserta langkah proaktif kerajaan meletakkan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi dengan suku pertama 2021 mencatatkan penguncupan yang lebih kecil iaitu -3.5 peratus pada Januari diikuti -3.6% (Februari) dan pertumbuhan positif 6 peratus (Mac).
“Sekiranya, tindakan penutupan ekonomi secara menyeluruh seperti PKP 1.0 diambil, ini akan mengakibatkan negara tergelincir dari landasan pemulihan ekonomi dan menggugat kemungkinan Malaysia mencapai pertumbuhan 6.0-7.5 peratus bagi tahun 2021 seperti yang diunjurkan pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Penguncupan KDNK -0.5 peratus pada suku pertama 2021 adalah satu peningkatan berbanding penguncupan -3.4 peratus pada suku keempat 2020 dan meletakkan Malaysia pada landasan pemulihan pada tahun 2021, dengan andaian sektor ekonomi utama akan dapat terus beroperasi,” jelasnya.⠀
Tengku Zafrul, berkata PKP 2.0 juga tidak menyebabkan kenaikan pengangguran yang ketara iaitu 4.8 peratus pada Disember 2020 diikuti 4.9 peratus (Januari 2021) 4.8 peratus (Februari 2021) dan dan semakin pulih pada Mac lalu dengan catatan 4.7 peratus atau 753,200 yang menganggur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




