Malaysia lokasi pertama siri jelajah konsert Jessica Jung

Malaysia lokasi pertama siri jelajah konsert Jessica Jung

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menjadi destinasi pertama persinggahan penghibur ternama Korea Selatan, Jessica Jung, 36, sempena siri jelajah pada tahun depan.

Konsert berjudul Jessica Concert Tour 2026 in Malaysia akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands jam 7 malam pada 11 Januari 2026.

Persembahan itu bakal menjadi hadiah istimewa buat peminatnya yang digelar Golden Stars. Ia menjanjikan sebuah pengalaman persembahan cukup memukau dan penuh nilai artistik.

Jelajah itu bukti teguh bahawa perjalanan kerjaya seni Jessica terus kukuh sebagai penghibur sejak mula berkarya hingga kini sekali gus sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat selama ini.

Sejak diperkenal bersama kumpulan Girls’ Generation atau SNSD pada 2007, Jessica terus menyinar sebagai personaliti serba boleh merentasi pelbagai cabang seni hiburan.

Sebagai penyanyi dan penulis lagu, dia dikenali dengan gaya muzik versatil dan pernah menghasilkan EP berjudul With Love, J dan Wonderland pada 2016, My Decade (2017) serta Beep Beep (2023).

Antara lagu-lagu popularnya termasuk Fly bersama Fabolous, Get It? Got It? Good bersama Amber Liu, Big Mini World, Summer Storm dan Falling Crazy In Love.

Jessica juga menyerlah di kaca televisyen di China termasuk meraih tempat kedua dalam program Sisters Who Make Waves 3 serta tampil dalam program The Treasured Voice musim keempat.

Di samping itu, kerjaya perniagaannya amat mengagumkan dan dia juga adalah pengasas jenama fesyen Blanc & Eclare selain turut menulis novel antaranya berjudul Shine serta Bright.

Dalam bidang lakonan, Jessica pernah membintangi pementasan muzikal Legally Blonde di Korea serta dua filem iaitu I Love That Crazy Little Thing dan My Other Home di China.

Tiket Jessica Concert Tour 2026 in Malaysia boleh didapati bermula 20 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top