24 maut, 100 hilang selepas Taufan Tauktae badai India

24 maut, 100 hilang selepas Taufan Tauktae badai India

MAHUVA: Sekurang-kurangnya 24 orang maut dan hampir 100 lagi hilang selepas taufan melanda India Barat, menambah penderitaan jutaan penduduk yang terkesan teruk akibat wabak COVID-19.

Ratusan ribu orang turut terputus bekalan elektrik selepas Taufan Tauktae, antara ribut terburuk di Laut Arab susulan perubahan iklim, membadai pantai Gujarat bermula lewat petang semalam.

Tiupan angin kencang sehingga 185 kilometer sejam (km/j) menumbangkan pokok dan tiang elektrik serta menara telefon bimbit ketika ia melanda kawasan pedalaman sebelum beransur lemah.

Angkatan Laut India berkata, sebuah kapal penyokong pelantar minyak yang dihempas ombak besar di luar pantai Mumbai tenggelam, menyebabkan 96 daripada 273 orang yang berada di dalam kapal itu hilang.

Kementerian Pertahanan berkata, 177 orang berjaya diselamatkan dan operasi dijangka berlanjutan sepanjang hari dalam keadaan laut yang bergelora.

Di kawasan lain, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut, menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang disahkan meningkat kepada 24 orang, ketika angin kencang dan hujan lebat mengakibatkan banjir.

Walaupun ia adalah antara taufan yang paling kuat melanda daerah itu sejak beberapa dekad lalu, ramalan lebih baik dan persediaan awal menyelamatkan ramai mangsa selain mengelakkan kemusnahan besar.

Semalam, pihak berkuasa Mumbai menutup lapangan terbang selama beberapa jam dan menggesa orang ramai kekal berada di dalam rumah kerana ombak besar melanda pinggir bandar.

Pakar Institut Meteorologi Tropika India, Roxy Mathew Koll, memberitahu AFP tidak banyak taufan berlaku di Laut Arab berbanding di Teluk Benggala sebelum ini, namun kenaikan suhu air akibat pemanasan global mengubah keadaan itu .- AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top