Raikan kehidupan, biarpun berduka

Raikan kehidupan, biarpun berduka

am@hmetro.com.my

PENYANYI bersuara lunak Ernie Zakri kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air apabila muncul dengan single terbaharu berjudul Dansa.

Lagu hasil ciptaan bersama John Jeeves, yang turut berperanan sebagai penerbit, membawa nafas segar dan dinamik dalam perjalanan seni penyanyi berbakat ini.

Sejak pelancarannya pada 31 Oktober lalu, Dansa berjaya menampilkan sisi baru Ernie dengan sentuhan pop moden dan elemen funky yang memikat halwa telinga.

Ia bukan sekadar lagu biasa, tetapi satu pengalaman emosi yang mengajak semua untuk meraikan kehidupan walaupun berdepan lara dan kesedihan.

Berkongsi lanjut, Ernie berkata, Dansa lahir daripada hasrat tulusnya untuk membantu orang ramai melepaskan tekanan hidup yang sering membebani jiwa.

“Emosi yang ingin saya sampaikan, kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Kadangkala kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa untuk menikmati serta menghargai apa yang ada di depan mata,” katanya.

Lagu ini turut memperlihatkan keserasian antara Ernie dan John Jeeves, yang terpancar jelas sepanjang proses penulisan dan penerbitan.

Malah, idea mereka saling melengkapi dalam menghasilkan karya yang lancar dan harmonis.

“Bekerjasama dengan John sememangnya pengalaman menyeronokkan. Aliran idea kami lancar, dan penulisan lirik berlaku dengan cepat kerana saya jelas dengan hala tuju yang ingin dibawa.

“Saya berharap lagu ini dapat membantu pendengar melupakan kesedihan seketika dan menikmati setiap detik yang hadir, seolah-olah menari bersama irama hidup yang indah dan penuh warna,” katanya.

Walaupun masih mengekalkan genre pop, Dansa tampil dengan pendekatan muzik lebih moden dan funky sekali gus membuktikan keupayaannya dalam menyesuaikan diri dengan trend muzik terkini.

Nada yang ceria dan pengolahan bunyi funky bukan sahaja menyeronokkan, malah membawa mesej positif yang menyentuh hati, satu trademark yang sentiasa melekat pada setiap karya Ernie.

“Walaupun Dansa masih berteraskan pop, pendekatannya lebih funky dan kontemporari. Ia memberikan pengalaman mendengar yang segar, seolah mengajak pendengar menari tanpa rasa beban,” katanya.

Susunan muzik yang dinamik, diiringi vokal penuh penghayatan Ernie, menjadikan Dansa sebuah karya yang bukan sahaja menyerlah dari segi bunyi, tetapi juga sarat dengan mesej motivasi dan inspirasi, membangkitkan semangat pendengar untuk terus melangkah ke hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top