am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: “Kami semakin buntu memikirkan masa depan kumpulan nelayan di perkampungan Orang Asli Sayong Pinang di sini yang terpaksa menganggur sejak lebih seminggu akibat pencemaran,” kata nelayan sungai, Azizan Mohsin, 32.
Azizan berkata, lebih satu tan pelbagai jenis ikan mati di sepanjang hilir Sungai Johor dipercayai selepas kolam sebuah tapak perlombongan berhampiran pecah.
Menurutnya, ia berikutan terdapat kira-kira empat kawasan perlombongan pasir beroperasi di sekitar Sungai Johor dan kejadian pada akhir Oktober lalu membabitkan hanya sebuah kawasan.
Katanya, pada masa sama, terdapat beberapa kilang sawit selain sebuah kilang baja di kawasan sepanjang pinggir Sungai Johor.
“Kebiasaannya kawasan ini menjadi habitat ikan baung, patin, lampam, tapah, kelabau, ketutu, jelawat, udang galah dan beberapa jenis ikan lagi namun kini semuanya mati termasuk anak ikan selain habitatnya.
“Kini harapan kami hanya sungai bersebelahan iaitu Sungai Linggiu namun hasilnya tidak memberangsangkan kerana turut terkesan akibat pencemaran sebelum ini.
“Manakala Sungai Sibol yang turut terletak di kawasan ini pula dalam keadaan lebih buruk.
“Ke mana hala tuju kami selepas ini menjadi tanda tanya, memang segelintir menjalankan aktiviti menoreh getah dan mencari hasil hutan secara separuh masa namun hasilnya amat sedikit serta tidak mungkin dapat menampung kos hidup,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan, Mazuri Mat, 39, berkata Sungai Sayong menjadi umpama ‘sungai zombie’ apabila ikan yang mati timbul di permukaan sungai selain mengakibatkan pencemaran bau busuk.
“Seminggu sebelum kejadian, sungai ini dalam keadaan baik namun kini segala-galanya berubah apabila air sungai masih cetek.
“Sehingga kini pihak syarikat terbabit tidak bertemu dengan kumpulan nelayan.
“Kami tidak pasti pampasan mahupun bantuan bakal ditawarkan namun proses pemulihan sungai ini mungkin memakan tempoh bertahun.
“Kami juga bimbang kejadian berulang kerana masih terdapat operasi perlombongan pasir syarikat lain di kawasan ini, sekiranya Insiden berulang kami mungkin terpaksa gulung tukar,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Majid Jantan, 63 berkata, sebelum 1980-an iaitu ketika masih tiada laluan darat, Orang Asli suku Jakun di perkampungan itu bergantung kepada sungai termasuk bagi membeli barangan keperluan di Kota Tinggi.
Menurutnya, secara keseluruhannya terdapat tiga perkampungan Orang Asli di sekitar kawasan itu termasuk Kampung Pasir Intan, Kampung Kempas Menang dan Sayong Pinang (dikenali sebagai Sungai Sayong Pinang sebelum ini).
Katanya, rata-rata nelayan di situ adalah nelayan darat yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan.
“Banyak perubahan, dulu masa saya kecil, air sungai jernih, kita minum air minum sungai tanpa masak pun boleh dan sekitar kawasan Sungai adalah hutan yang menjadi tempat kami mencari hasil hutan.
“Kini pencemaran berlaku hampir setiap tahun hingga kami sudah penat menghadapi isu ini. Kami sedih dengan nasib Sungai Sayong mahupun Sungai Johor,” katanya.
Arah syarikat tanggung kerugian
Kerajaan negeri dalam proses membuat penilaian kos implikasi kerugian ditanggung akibat pencemaran Sungai Johor yang berlaku pada 31 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, berkaitan soal tempoh masa siasatan pencemaran itu pula, pihaknya serahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Tindakan segera adalah dengan mengeluarkan notis arahan untuk menghentikan aktiviti oleh pihak yang dipercayai mengakibatkan pencemaran selain permit juga digantung.
“Kerajaan negeri mengarahkan syarikat terbabit untuk menanggung segala kos kerosakan ataupun implikasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jaringan Perikanan Nelayan Sayong Pinang, Jasni Amat berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk mewartakan Sungai Johor.
Beliau berkata, pihaknya berharap cadangan itu dilaksanakan dengan secepat mungkin supaya boleh mencegah pencemaran berulang.
“Jika Sungai Johor diwartakan, kami harap kilang-kilang dan perlombongan sepanjang sungai memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), JAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memastikan air sungai sentiasa bersih tidak tercemar lagi kerana air Sungai Johor nadi rakyat Johor.
“Mohon kerajaan negeri serius dan komited untuk wartakan Sungai Johor ini. Perkara ini bukan isu baharu, sudah lama ia berulang, siapa yang harus bertanggungjawab, siapa yang untung dan siapa yang rugi?,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau Negeri Johor, P Siva Kumar berkata, isu pencemaran itu memerlukan pembelaan sewajarnya.
“Pencemaran ini tidak adil bagi Sungai Johor yang menjadi antara sumber bekalan utama air kepada rakyat negeri ini.
“Pihak berkuasa tidak seharusnya berkompromi dalam isu pencemaran seumpama ini kerana ia boleh menimbulkan kesulitan kepada pelbagai pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




