am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ada individu termasuk selebriti dikesan ligat memakai gelaran seperti pakar psikologi, motivator, mind coach dan pakar terapi tanpa sebarang tauliah demi ‘menjual’ seminar atau kursus pembangunan diri.
Tindakan itu bertentangan dengan perkhidmatan psikologi kerana bantuan terhadap emosi, fikiran dan tingkah laku seseorang tidak boleh disampaikan sewenang-wenangnya.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, individu tidak bertauliah yang menggunakan gelaran pakar psikologi boleh menyebabkan salah saringan diagnosis, memberi nasihat berbahaya dan melambatkan rawatan sebenar daripada profesional.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan penyampaian nasihat dan ‘rawatan’ kesihatan mental oleh individu yang tidak layak.
“Ada kes individu mengalami kemurungan, tapi hanya diberi motivasi kosong yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.
“Dalam keadaan paling buruk, rawatan yang salah ini boleh meningkatkan risiko kecelaruan emosi serius dan mendorong kepada pemikiran atau cubaan membunuh diri,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, gelaran seperti mind coach, motivator atau pakar terapi kini semakin kerap digunakan bagi menarik kepercayaan orang ramai di media sosial.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, gelaran sebegitu tidak memberi sebarang jaminan terhadap kelayakan profesional seseorang individu.
“Kita bimbang masyarakat keliru antara motivasi dan rawatan psikologi, sedangkan kedua-duanya sangat berbeza dari segi pendekatan dan keperluan latihan.
“Untuk menjadi pakar psikologi memerlukan kelayakan akademik dalam bidang psikologi dan latihan klinikal yang ketat.
“Seseorang perlu memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dalam psikologi dan menjalani latihan seliaan 1,500 jam sebelum boleh berdaftar secara sah,” katanya.
Dr Shazli berkata, hanya mereka yang berdaftar secara rasmi dengan badan profesional yang diiktiraf sahaja layak memberikan perkhidmatan psikologi kepada masyarakat.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan populariti media sosial atau testimoni semata-mata.
“Paling penting, semak latar belakang akademik, pengalaman dan status pendaftaran individu sebelum dapat khidmat mereka,” katanya.
Justeru, Dr Shazli berkata, PSIMA sedang memperjuangkan penubuhan Akta Psikologi bagi memayungi semua cabang psikologi secara sah di bawah satu kerangka perundangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




