“GENOSID : TRAGEDI KEMANUSIAAN YANG TIDAK BERKESUDAHAN”

Petaling Jaya: Dalam sejarah manusia, genosid merupakan jenayah paling kejam yang pernah dilakukan iaitu pembunuhan beramai-ramai terhadap sesuatu kaum, bangsa atau agama dengan tujuan menghapuskannya dari muka bumi. Tragedi di Rwanda, Bosnia dan Holocaust sudah cukup untuk menjadi pengajaran yang pahit, namun walaupun dunia kini di era pemodenan yang sepatutnya perbuatan ini tidak berlaku, dunia sekali lagi menyaksikan kekejaman yang sama berulang di Palestin dan Sudan.

Setiap hari, ribuan nyawa tidak berdosa menjadi mangsa penindasan dan kekerasan yang berpunca daripada tamak kuasa, perkauman dan kebencian. Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin, menolak segala bentuk kezaliman ini dan menyeru umat manusia untuk menegakkan keadilan sejagat tidak kira rakyat biasa atau pemimpin berkuasa.

Di Palestin, isu pencerobohan, penjajahan dan penindasan terhadap mereka boleh dikatakan sejak tahun 1948, iaitu tahun penubuhan negara haram Israel sehinggalah pada 7 Oktober 2023, pengeboman dan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah semakin berleluasa setiap hari bahkan tanpa henti. Kanak- kanak di Palestin tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak di negara lain, ibu bapa tidak dapat bekerja seperti ibu bapa dengan tenang, malah mereka hidup dalam kelaparan, kesedihan dan kesengsaraan akibat kekejaman rejim zionis..

Sementara di Sudan, peperangan antara dua kumpulan tentera yang pada awalnya bekerjasama dalam membangun negara akhirnya bertukar menjadi perebutan kuasa. Konflik ini telah menyebabkan lebih 20,000 nyawa terkorban dan 15 juta orang kehilangan tempat tinggal. Namun hakikatnya, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana liputannya amat sukar disahkan. Negara yang dulunya kaya dengan hasil minyak kini mengalami kemunduran akibat keruntuhan ekonomi, kekurangan dana dan ketidakstabilan keselamatan.

Islam sangat memandang nyawa manusia sebagai sesuatu yang suci dan bernilai tinggi. Ingatlah pada zaman Rasulullah, Baginda telah bersusah payah menekankan nilai wanita, kanak-kanak dan orang yang lemah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah (5:32) :

“Barang siapa membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau membuat kerosakan di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.”

Ayat ini menegaskan bahawa membunuh satu nyawa tanpa hak sama beratnya dengan membunuh seluruh umat manusia. Ini merupakan satu pengharaman mutlak terhadap genosid tanpa sebarang alasan yang dapat membenarkan pembunuhan manusia beramai-ramai.

Allah juga berfirman dalam Surah al-Anfal (8:72) :

“Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan agama, maka wajiblah kamu menolong mereka…”

Umat Islam diwajibkan untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan dalam urusan agama, apatah lagi saudara kita yang dizalimi maka semakin tinggilah tanggungjawab kita untuk membantu mereka. Membisu terhadap kezaliman adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip Islam yang menegakkan keadilan dan kasih sayang sesama manusia.

Genosid tidak akan berhenti selagi dunia terus berdiam diri. Setiap individu harus memainkan peranan dalam usaha menghentikan genosid. Sebagai rakyat biasa, yang boleh kita lakukan ialah dengan membina kesedaran dan empati kemanusiaan dalam diri. Sikap acuh tak acuh terhadap penderitaan bangsa lain hanya mengukuhkan lagi kezaliman. Masyarakat perlu berganding bahu dalam menolak propaganda palsu yang disebarkan dan menyebarkan mesej perdamaian serta solidariti terhadap mangsa genosid. Janganlah berputus asa dalam menegakkan kebenaran walaupun hanya sekecil langkah, kerana Allah Maha Melihat dan Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Pihak kerajaan pula mesti menegakkan dasar luar yang berprinsipkan keadilan dan kemanusiaan. Kerajaan tidak seharusnya bekerjasama dengan negara yang menyokong rejim penindas kerana bersekongkol dengan pelaku kezaliman juga adalah bentuk kezaliman Selain itu, bnatuan kemanusiaan kepada mangsa penindasan mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menunjukkan solidariti negara terhadap negara yang ditindas.

Antara peranan besar yang dapat menghentikan genosid ialah pertubuhan antarabangsa seperti PBB, OIC dan ICC. Pertubuhan antrabangsa ini perlulah memperkukuhkan mekanisme undang-undang bagi menghukum pelaku genosid tanpa pilih kasih. Dalam isu sebesar ini, negara yang memegang kuasa veto tidak sepatutnya menggunakan kuasa mereka kerana ini melibatkan nyawa jutaan manusia. Dunia mesti berhenti bersikap hipokrit dalam isu kemanusiaan, tiada bangsa yang sepatutnya diperlakukan lebih rendah hanya kerana agama atau warna kulitnya. Di sisi Tuhan, semua manusia adalah sama dan sebarang diskriminasi kaum atau bangsa adalah bertentangan dengan fitrah Islam.

Secara tuntasnya, genosid ini bukanlah hanya sekadar tragedi politik, malah ianya adalah krisis nilai kemanusiaan. Apabila manusia hilang rasa belas kasihan, maka darah menjadi murah dan keadilan menjadi bisu. Islam mengajar bahawa keadilan mesti ditegakkan walaupun terhadap musuh sendiri dan menentang kezaliman adalah tanda keimanan.

Dunia, kerajaan dan rakyat harus bersatu menolak segala bentuk pembunuhan dan penindasan tidak kira di Palestin, Sudan mahupun di negara lain yang turut mengalami genosid tetapi dibisukan oleh media yang tidak berperikemanusiaan. Selagi manusia berdiam diri terhadap kezaliman selagi itulah genosid akan terus berulang. Semoga dunia kembali kepada fitrah untuk menegakkan kebenaran, mempertahankan nyawa dan memelihara maruah seluruh manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Oleh: Nur Malina Binti Mahayuddin
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin,
Jabatan Usuluddin Dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
malinamahayuddin@gmail.com

Scroll to Top