DUNIA GAMING DAN REMAJA: BAGAIMANA IA MENGUBAH HIDUP MEREKA?

Petaling Jaya: Pada era digital ini, permainan dalam talian ataupun ‘Online Game’ semakin meluas dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Pelbagai jenis permainan yang disyorkan bagi menarik perhatian dari segi grafik dan rekaan yang sangat realistik.
Namun, ia bukan lagi sekadar hobi tetapi menjadi rutin harian sehingga ramai dalam kalangan remaja sekarang tenggelam dalam dunia maya tanpa disedari. Oleh hal yang demikian, apabila permainan dalam talian ini digunakan secara tidak terkawal, ia telah memberi pelbagai impak yang negatif terhadap perkembangan emosi dan sosial mereka.

Ketagihan yang melampau terhadap permainan antara salah satu punca bahayanya permainan dalam talian ini khususnya kepada remaja, kerana keseronokan daripada permainan itu mampu mengaburi mata mereka untuk terus bermain sehingga lewat malam.
Perkara ini memberi kesan yang tidak sihat lebih-lebih lagi pada remaja yang setiap hari bangun awal pagi untuk pergi ke sekolah. Mereka akan mula mengantuk dan penat disebabkan tidur yang tidak cukup malah kurang bersemangat ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Realitinya, remaja menjadi tidak fokus dalam belajar sekaligus menjejaskan prestasi akademik mereka di sekolah.

Selain itu, kurangnya pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka dalam penggunaan telefon pintar. Disebabkan ibu bapa yang terlalu mementingkan pekerjaan, anak-anak mula berasa terabai dan bebas melakukan apa sahaja mereka inginkan.
Ramai remaja pada hari ini lebih mengutamakan bermain permainan dalam talian sehingga sanggup mengabaikan kata-kata atau suruhan daripada ibu bapa mereka sendiri. Terdapat sesetengah ibu bapa yang menganggap perkara ini hanyalah kebiasaan sekiranya berlaku dalam kalangan remaja.

Hakikatnya, masalah ini memberi kesan buruk sehingga menjadikan remaja kurang bergaul dengan orang di sekeliling. Akhirnya, mereka tidak hairan untuk bermain permainan dalam talian tanpa melihat kesesuaian tempat dimana sahaja berada kerana ketidak pekaan ibu bapa dalam mengawasi tingkah laku anak mereka sendiri.

Dalam pada itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi asbab bahayanya permainan dalam talian ini kepada remaja. Hal ini tercetus apabila, pada awalnya hanya sekadar melihat rakan bermain dan akhirnya termakan ajakan rakan tersebut.
Perkara ini tidak salah jika dilihat pada sudut positif, malangnya ia memberi kesan negatif ketika remaja mula bermain permainan dalam talian bersama rakan seperjuangan sehingga mengabaikan kerja hakiki sebagai seorang pelajar. Contohnya, tidak menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru di sekolah bahkan tidak mengulang kaji pelajaran kerana terlalu sibuk bermain bersama rakan-rakan.

Tambahan pula, kesihatan fizikal mahupun mental remaja boleh terjejas disebabkan permainan dalam talian ini apabila mereka terlalu bermain mengikut emosi. Kesannya, setiap kali berlaku kekalahan akan timbulnya ekspresi kemarahan di raut wajah mereka.
Namun, masalah ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditangani. Terdapat beberapa solusi yang boleh dilaksanakan. Antaranya ialah ibu bapa memainkan peranan dalam pemantauan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa membuat jadual harian anak-anak mereka dengan mengehadkan penggunaan telefon bimbit. Ini melatih anak-anak supaya tidak terlalu obses dengan teknologi yang canggih itu.
Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu mengambil tahu jenis permainan yang anak-anak mereka main di dalam talian samada konten dalam permainan itu baik atau sebaliknya. Ini berlaku kerana, remaja pada masa kini semakin bijak meneroka aplikasi-aplikasi yang baharu tanpa menyelidik latar belakang permainan tersebut.

Seterusnya, peranan kerajaan terhadap platform permainan harus dititikberatkan. Pihak kerajaan haruslah mengatur permainan dalam talian itu mengikut peringkat umur. Misalnya, menyekat kemasukan permainan dewasa kepada golongan remaja melalui imbasan muka. Dengan itu, mereka akan lebih berwaspada dalam memilih untuk bermain permainan dalam talian.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, terlalu banyak aplikasi permainan sekarang yang memberi impak negatif kepada remaja. Jadi, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap platform permainan ini wajarlah menghapus segala permainan dalam talian yang berunsurkan keganasan.

Perkara ini perlu dipandang serius kerana banyak kes jenayah yang telah pun terjadi pada hari ini dalam kalangan remaja disebabkan unsur-unsur negatif yang terdapat dalam permainan dalam talian ini sehingga mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan seharian mereka.
Konklusinya, permainan dalam talian bukanlah sesuatu yang perlu diharamkan sepenuhnya. Namun, penggunaannya yang tidak terkawal boleh mendatangkan kesan yang ketara terhadap sosial, akademik dan emosi dalam kalangan remaja.

Sekiranya semua pihak mengetahui punca masalah dan mengambil tindakan yang sesuai, permainan dalam talian akan sentiasa kekal sebagai hiburan yang sihat dan bukanlah dianggap sebagai ancaman pada masa depan.
Oleh itu, mengutamakan keseimbangan antara dunia digital dan realiti penting dalam kalangan remaja khususnya agar dapat memastikan generasi muda ini membesar dengan lebih sejahtera dan berdisiplin.

Oleh: Amellia Shafiqa Binti Shah Ruddin
Jabatan Usuluddin Dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Scroll to Top