Petaling Jaya: Dalam dunia digital kini, Roblox semakin menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Menurut laporan terkini, Roblox mempunyai lebih daripada 200 juta pengguna aktif setiap bulan di seluruh dunia, termasuk ramai remaja di Malaysia. Roblox bukan sekadar permainan, tetapi sebuah platform interaktif yang membolehkan pemain membina dunia maya mereka sendiri, berinteraksi dengan rakan-rakan, dan menjelajah pelbagai permainan ciptaan pengguna lain. Populariti ini menjadikan Roblox satu fenomena sosial yang semakin mendapat perhatian ibu bapa dan pendidik. Trend ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada kanak-kanak meningkatkan kreativiti dan kemahiran teknologi.
Namun, di sebalik keseronokan itu, muncul fenomena ketagihan yang semakin membimbangkan. Ramai remaja kini menghabiskan berjam-jam setiap hari di hadapan skrin sehingga mengabaikan pelajaran, kesihatan, dan hubungan sosial. Situasi ini menimbulkan persoalan, adakah Roblox sekadar hiburan, atau sudah menjadi perangkap ketagihan digital yang perlu ditangani segera?
Salah satu punca utama ketagihan terhadap Roblox ialah sifat permainannya yang sangat interaktif dan mudah diakses oleh semua peringkat umur. Roblox menawarkan ribuan permainan yang dicipta oleh pengguna sendiri, menjadikannya platform yang sentiasa mempunyai kandungan baharu dan menarik. Sistem ganjaran dalam permainan seperti mata, avatar, dan mata wang maya menimbulkan rasa teruja serta kepuasan segera, mendorong pemain bermain lebih lama untuk mencapai pencapaian tertentu. Dari perspektif psikologi tingkah laku, ganjaran berulang ini merangsang otak menghasilkan dopamine, menyebabkan pemain merasa “perlu” terus bermain.
Selain itu, ciri sosial yang membolehkan pemain bersembang, bekerjasama, atau bersaing dengan rakan-rakan menjadikan Roblox lebih menyeronokkan dan sukar ditinggalkan. Beberapa permainan popular seperti Adopt Me! dan Brookhaven turut menarik perhatian remaja kerana elemen interaksi sosial dan kreativiti yang tinggi. Tanpa sedar, pemain boleh terperangkap dalam kitaran keseronokan berpanjangan ini, terutamanya apabila tiada kawalan masa daripada ibu bapa. Faktor-faktor inilah yang akhirnya mendorong remaja untuk terus bermain tanpa mengira waktu sehingga menjejaskan kehidupan sebenar mereka.
Ketagihan terhadap Roblox memberi kesan yang ketara terhadap perkembangan diri remaja, sama ada dari segi akademik, sosial, mahupun emosi. Antara kesan yang paling jelas adalah penurunan tumpuan terhadap pelajaran. Banyak pelajar lebih suka menghabiskan masa di hadapan skrin berbanding menyiapkan tugasan sekolah, sehingga menyebabkan prestasi akademik merosot.
Interaksi sosial dalam dunia sebenar semakin berkurang pada masa kini apabila remaja lebih suka berinteraksi melalui maya. Hubungan dengan ahli keluarga juga terjejas kerana masa berbual, berkongsi pengalaman, atau melakukan aktiviti bersama berkurang. Ini juga menjejaskan kesihatan fizikal mereka, terutamanya apabila mereka tidak tidur cukup, tidak aktif bergerak, dan mengabaikan waktu makan. Dari segi psikologi, mereka mudah mengalami tekanan, kemurungan ringan, atau mudah marah jika dilarang bermain. Dalam jangka panjang, permainan ini boleh membawa kepada ketidakseimbangan emosi dan hilangnya kemahiran sosial yang penting dalam kehidupan seharian. Kesan ini tidak hanya dirasakan oleh individu, tetapi turut menimbulkan cabaran kepada keluarga dan guru dalam mendidik serta membimbing remaja secara efektif.
Bagi menangani masalah ketagihan permainan dalam talian seperti Roblox, kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama ibu bapa, guru, dan masyarakat. Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dengan menghadkan masa skrin anak-anak, contohnya menetapkan tempoh maksimum satu hingga dua jam sehari untuk bermain, serta memastikan anak mengambil rehat yang cukup dan mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka juga digalakkan memantau kandungan permainan dan berbincang secara terbuka tentang bahaya ketagihan digital, sambil menggalakkan aktiviti bersama keluarga seperti berkebun, memasak, atau bersukan.
Di peringkat sekolah pula, program kesedaran seperti ceramah literasi digital, bengkel pengurusan masa, dan bimbingan psikososial boleh dijalankan bagi mendidik pelajar mengurus masa secara seimbang. Pihak berkuasa dan pembangun permainan turut wajar melaksanakan sistem kawalan umur, notifikasi masa bermain, dan pemantauan kandungan untuk mengelakkan penggunaan berlebihan. Dengan pendekatan bersepadu ini, anak-anak dapat menikmati permainan digital seperti Roblox secara selamat dan sihat, tanpa menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental mereka.
Roblox tidak dinafikan menyeronokkan, tetapi jika tidak ada pengawasan yang wajar, ia akan menjadi ketagihan yang menjejaskan kehidupan seharian. Tanpa kawalan masa bermain, anak-anak berisiko kehilangan fokus terhadap pelajaran, interaksi sosial, dan kesihatan fizikal mereka. Ibu bapa, pendidik, dan masyarakat harus berganding bahu memastikan teknologi digunakan secara seimbang dan positif.
Dengan bimbingan yang tepat, permainan digital seperti Roblox bukan sahaja boleh menjadi sumber hiburan, tetapi juga alat pembelajaran, kreativiti, dan pembangunan kemahiran sosial. Kesedaran bersama, komunikasi keluarga yang baik, dan tindakan proaktif dapat membantu generasi muda menikmati dunia maya dengan selamat tanpa mengorbankan kesejahteraan diri dan masa depan mereka. Hanya melalui usaha bersama, ketagihan digital boleh dikawal, sekaligus memastikan teknologi memberi manfaat sepenuhnya kepada kehidupan anak-anak dan remaja masa kini.
Oleh: Nurul Allyana binti Mohd Azman
Naib Presiden Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Email: 22000155@siswa.um.edu.my



