Petaling Jaya: Pembentukan sahsiah dan jati diri seorang Muslim adalah daripada pendidikan agama sejak dari kecil. Di Malaysia, pihak sekolah menggalas tanggungjawab yang besar dalam mendidik pelajar tentang kehidupan agama Islam. Namun begitu, pada 5 November 2025 yang lepas, negara dikejutkan dengan berita murid tahun 5 sekolah rendah swasta di Puchong tidak dapat menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa pada tahun ini kerana sekolah tersebut tidak berdaftar dan mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa perkara yang memberi kesan terhadap beberapa pihak dalam isu ini.
Antara kesan daripada tidak dapat menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa ialah menjejaskan masa depan pelajar. Hal ini disebabkan kerana pelajar tidak mempunyai sijil Ujian Penilaian Kelas Kafa untuk mengetahui tahap kecemerlangan pendidikan Islam bagi pelajar di sekolah rendah. Pelajar juga akan ketinggalan menyebabkan masa yang diperuntukkan untuk menduduki ujian lain akan terganggu. Contohnya, mereka tidak mempunyai keputusan peperiksaan daripada penilaian UPKK yang menjadi batu loncatan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama. Oleh itu, jelaslah bahawa dengan tiada pengiktirafan ini menjejaskan peluang pelajar untuk mencapai cita-cita mereka.
Selain itu, pelajar yang menimba ilmu di sekolah yang tidak berdaftar juga akan sukar dalam menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran yang baru. Hal ini demikian kerana terdapat kenyataan daripada pihak JAKIM untuk dipindahkan ke sekolah yang berdaftar. Apabila perkara ini berlaku, pelajar terpaksa melalui semua proses pembelajaran dalam masa yang singkat yang boleh mengganggu emosi mereka. Sebagai contoh, perpindahan ke sekolah lain mengakibatkan pelajar mengahadapi tekanan dan kebimbangan untuk menghadapi peperiksaan UPKK. Oleh itu, perpindahan ke sekolah yang disarankan akibat daripada sekolah yang tidak berdaftar akan mengganggu proses pembelajaran pelajar.
Seterusnya, kesan daripada sekolah agama yang tidak berdaftar ini mengurangkan kualiti Pendidikan Islam di negara ini. Tanpa pengawasan dari pihak JAKIM atau jabatan agama negeri, silibus yang digunakan untuk mengajar tidak dapat dipastikan kesahihan fakta dan sumber yang diperoleh. Hal ini menyebabkan pelajar tidak mendapat ilmu agama yang sahih dan membawa kepada penyelewengan agama. Sebagai contoh, ilmu yang disampaikan kepada pelajar hanya bersumberkan internet tanpa mencari dan menggunakan sumber yang tepat. Keadaan ini akan menimbulkan kekeliruan dalam memahami hukum hakam berkaitan agama Islam yang sebenar. Justeru itu, kelemahan sistem di sekolah ini akan mengurangkan kualiti Pendidikan Islam serta ilmu agama yang sahih tidak dapat difahami dengan jelas.
Di samping itu, isu sekolah agama yang tidak berdaftar turut menimbulkan beban kewangan kepada ibu bapa. Ibu bapa beranggapan bahawa sekolah tersebut telah didaftarkan tetapi perkara sebaliknya berlaku. Mereka sanggup membayar yuran yang tinggi demi memastikan anak anak mereka mendapat pendidikan agama yang terbaik. Namun begitu, apabila mengetahui perkara tesebut ibu bapa terpaksa menanggung kerugian setelah bertahun tahun membayar yuran untuk anak anak belajar kelas agama di sekolah tersebut. Perkara ini juga turut menimbulkan kebingungan ibu bapa dan kepercayaan yang telah dikhianati oleh sekolah tersebut. Oleh itu, isu ini turut menimbulkan kewangan ibu bapa dalam mencari alternatif lain untuk menyelesaikan perkara ini.
Akhir sekali, imej institusi Islam di Malaysia juga akan tercemar disebabkan isu sekolah agama yang tidak berdaftar ini. Seperti yang kita tahu, masyarakat Malaysia lantang menyatakan pendapat masing-masing apabila sesuatu isu berlaku. Di dalam kes ini juga masyarakat beranggapan bahawa Islam tidak tegas dalam penguatkuasaan dan pengawasan. Hal ini juga menjadi punca orang ramai untuk kurang yakin terhadap pihak berkuasa dan jabatan agama islam negeri. Contohnya, rentetan daripada isu ini telah menimbulkan pelbagai andaian negatif terhadap kecekapan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab atas perkara berkaitan sekolah dan agama ini. Oleh hal yang demikian, sudah pasti imej Islam akan terjejas apabila penguatkuasaan tidak dilakukan dengan amanah dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, isu sekolah agama yang tidak berdaftar ini amatlah memberi impak yang besar terhadap pelbagai pihak terutama pelajar dan ibu bapa. Pelajar menjadi golongan yang paling terkesan kerana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran terhadap diri mereka dan masa depan mereka. Pihak berkuasa perlulah lebih cakna dan tidak memandang remeh akan perkara ini. Peranan yang dimainkan oleh setiap pihak seperti pihak sekolah dan pihak JAKIM amatlah penting supaya perkara ini tidak berulang lagi. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap maklumat asas sekolah. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini supaya pendidikan agama Islam di Malaysia dapat dipelihara. Tuntasnya, pendidikan agama yang berkualiti akan melahirkan insan yang berdaya saing selain berdisiplin bertanggungjawab dan amanah dalam masyarakat.
Oleh: NURUL INFAIZAH BINTI MOHAMAD MONIR
PELAJAR JABATAN USULUDDIN DAN DAKWAH
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA.
Email: s2119530@siswa.um.edu.my



