Kuala Lumpur: Selepas Gabriel Palmero, seorang lagi pemain warisan negara, Rodrigo Holgado, dilaporkan ditamatkan kontrak oleh kelab America de Cali, susulan keputusan FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain negara.
Portal sukan tempatan, El Deportivo, melaporkan keputusan drastik itu dibuat sebaik Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman sedia ada, sekali gus memaksa kelab berkenaan menamatkan kontrak Holgado yang masih berbaki setahun.
Difahamkan, proses penamatan kontrak berlangsung pada 11 November lalu dan diselesaikan secara baik apabila kedua-dua pihak bersetuju atas dasar memahami situasi semasa.
Bagaimanapun, America de Cali masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu, namun laporan tempatan menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan perlu bagi mematuhi peraturan FIFA.
Sekiranya disahkan, Holgado menjadi pemain kedua negara yang kehilangan kontrak selepas Palmero, sekali gus menjejaskan perancangan kariernya di peringkat kelab.
Empat hari lalu, Palmero turut ditamatkan kontraknya oleh CD Tenerife dengan serta-merta selepas isu sama membabitkan pemalsuan dokumen.
Selain Holgado dan Palmero, lima lagi pemain warisan turut digantung FIFA iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Imanol Machuca.
Sebelum ini, FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman denda RM1.8 juta ke atas FAM, selain penggantungan 12 bulan serta denda RM10,374 terhadap setiap pemain terbabit.
Bagaimanapun, FAM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan telah memohon alasan bertulis daripada FIFA bagi meneliti langkah susulan, termasuk kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




