Hadiah lumayan nanti pemenang MLBB, eFootball Mobile

Hadiah lumayan nanti pemenang MLBB, eFootball Mobile

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan eFootball Mobile anjuran Klang Valley District pada Disember depan bakal menjadi medan mencungkil bakat baharu, selain dijangka mendapat sambutan hangat dalam kalangan belia dan anak muda.

Pengarah kejohanan, Mohammad Farid Hamdan berkata, e-sukan semakin berkembang dengan baik dan pertandingan seperti ini membuka ruang kepada mereka untuk menunjukkan bakat sedia ada, khususnya pemain yang belum beraksi dalam liga profesional tempatan.

“Rancangan utama kejohanan ini adalah memberi peluang kepada anak muda serta mencungkil bakat baharu dalam arena e-sukan.

“Oleh itu, penyertaan tidak dibuka kepada pemain yang sudah bertaraf bintang,” katanya yang menyasarkan 500 penyertaan dalam acara MLBB dan eFootball.

Beliau berkata, kejohanan itu akan menjadi medan penting buat organisasi melihat kekurangan serta keperluan yang perlu diperbaiki memandangkan pada tahun hadapan akan diadakan lebih banyak pertandingan di setiap negeri.

“Kejohanan pada Disember ini adalah sebagai permulaan dan bermula tahun depan, kejohanan akan diadakan setiap bulan di setiap negeri.

“Setiap juara akan dikumpulkan untuk bertanding di pusingan akhir dengan matlamat mewujudkan platform seakan-akan liga profesional bagi memberi peluang kepada bakat baharu untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Kejohanan itu akan bermula pada 7 Disember bagi pusingan kelayakan yang diadakan secara dalam talian, manakala pasukan layak ke final akan beraksi pada 12 Disember secara offline di NU Empire, Subang untuk merebut wang hadiah keseluruhan RM10,000 bagi setiap acara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top