Perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar KL dipendekkan, galas tugas baharu di GLC

Perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar KL dipendekkan, galas tugas baharu di GLC

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dipendekkan bagi membolehkannya menggalas tanggungjawab baharu di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi nasional.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, lantikan Maimunah dari 15 Ogos 2024 hingga 14 Ogos 2026, dipendekkan sehingga esok, untuk memberi ruang kepada beliau ditempatkan dalam GLC yang diberi peranan membangunkan mercu tanda baharu di ibu negara.

“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, terutamanya ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif.

“Sepanjang menerajui DBKL, Maimunah telah meletakkan tanda aras tinggi dalam penyampaian perkhidmatan dan memperkasa tadbir urus berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejayaan paling ketara adalah pemulihan kewangan DBKL, yang berjaya mencatatkan lebihan semasa sebanyak RM27.6 juta pada tahun 2024.

“Ini adalah satu pencapaian besar berbanding defisit sebanyak RM75.3 juta pada tahun 2023 dan RM283 juta pada tahun 2022.

“Lonjakan (kewangan) ini mencerminkan kepimpinan transformatif beliau dengan penekanan kepada langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus kewangan yang berteraskan amalan pengurusan perbelanjaan berhemah, cekap dan strategik,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, Shamsul Azri berkata, beliau berjaya meletakkan Kuala Lumpur di peta dunia, menjalin kerjasama strategik dengan UNICEF dan berjaya menganjurkan forum antarabangsa seperti ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) dan ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Katanya, Maimunah juga komited menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon dan berdaya tahan iklim melalui inisiatif seperti Sifar Sisa, Inisiatif Lingkaran Hijau, dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP).

“Kecemerlangan kepimpinannya diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij, termasuk Anugerah Kepimpinan Public Relation and Communication Association of Malaysia (PCRA) 2024; Anugerah Nona Superwoman Award 2024; Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandaraya) 2025 dan Anugerah ‘Women of the decade’ sempena Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025 serta Penerima Leadership Award 2025 daripada Fira de Barcelona di World Smart City Expo 2025,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yakin dengan pelantikan baharu ini, beliau dapat memastikan projek mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur direalisasikan dengan sempurna, selaras dengan aspirasi MADANI Wilayah Persekutuan.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Maimunah. Tahniah juga diucapkan dan selamat maju jaya di atas pelantikan baharu di Syarikat Berkaitan Kerajaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top