Dublin: Ketua jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson, menegaskan bahawa Cristiano Ronaldo tidak seharusnya menyalahkannya atas kad merah yang diterima bintang Portugal itu ketika tewas 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Ronaldo dan Hallgrimsson dilihat bertikam lidah selepas penyerang berusia 40 tahun itu diperintahkan keluar padang kerana menghayunkan siku ke belakang Dara O’Shea ketika berada dalam kotak penalti pada separuh masa kedua.
Sebelum perlawanan, Ronaldo mendakwa Hallgrimsson cuba ‘memberi tekanan’ kepada pengadil dengan mengingatkan mereka supaya tidak dipengaruhi statusnya sebagai pemain bintang.
Namun Hallgrimsson menegaskan keputusan pengadil langsung tidak dipengaruhi kata-katanya.
“Katanya saya cuba beri tekanan kepada pengadil, tetapi tolong… ia tiada kena-mengena dengan saya. Itu tindakan dia sendiri yang menyebabkan kad merah,” kata Hallgrimsson.
Kad merah itu adalah yang pertama Ronaldo bersama Portugal, dan dia kini berdepan risiko digantung pada permulaan Piala Dunia jika Portugal mengesahkan kelayakan mereka, bergantung kepada hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nanti.
Ronaldo juga pasti tidak dapat beraksi menentang Armenia Isnin ini, perlawanan yang boleh mengesahkan tempat Portugal ke Piala Dunia.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, mempertahankan tindakan Ronaldo, menegaskan pemainnya itu bergelut dengan tekanan fizikal dalam kawasan penalti.
“Sukar untuk pemain seperti Cristiano apabila berada dalam kotak penalti,” kata Martinez.
“Dia sentiasa ditarik dan dicengkam. Tidak ada unsur keganasan, dia hanya cuba menolak pemain lawan menjauhinya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




