am@hmetro.com.my
Port Dickson: Sebuah bas yang membawa rombongan murid Tahun Enam didakwa dibaling batu oleh orang awam dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini.
Video kejadian berdurasi 39 saat itu tular memaparkan beberapa lelaki menjerit ke arah pemandu bas terbabit, namun tidak dapat didengari dengan jelas patah perkataannya.
Menerusi keterangan video, orang awam yang berada di bahu jalan bertindak membaling batu ke arah bas berkenaan kerana membunyikan hon terhadap kenderaan yang dipakir di tepi jalan.
Malah dimaklumkan, terdapat kanak-kanak yang ketakutan selain ada juga yang menangis.
Seorang pemilik akaun wanita menerusi komennya di video itu memberitahu anaknya menaiki bas terbabit yang dalam perjalanan lawatan ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia mempertikaikan tindakan pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas menyebabkan bas berkenaan tidak dapat bergerak.
Seorang lelaki mendakwa salah seorang guru yang menaiki bas itu berkongsi kronologi kejadian berlaku di ruangan komen.
Katanya, kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi Rabu lalu ketika tiga bas membawa rombongan murid sekolah rendah ke ibu negara.
“Sebaik tiba di depan PUSASDA, bas terpaksa berhenti disebabkan laluan sangat sempit kerana berselisih dengan lori tangki minyak dari arah bertentangan.
“Kemudian bas itu terpaksa berhenti agak lama kerana terdapat empat kereta dipakir secara bertindih,” katanya.
Tambahnya, pemandu bas terpaksa membunyikan hon agak lama supaya didengar oleh pemilik kenderaan terbabit.
Bagaimanapun katanya, terdapat orang awam yang tidak berpuas hati memulakan provokasi dengan memaki hamun pemandu bas sebelum beberapa yang lain turut menjerit ke arah bas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.
“Kami meminta kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini supaya tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




