am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang pekerja penghantar makanan terpaksa membonceng anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bagi menghantar pesanan pelanggan selepas motosikalnya disita dalam Operasi Bersepadu di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini.
Dalam kejadian jam 9.40 malam tadi, lelaki berusia lingkungan 30-an dari Krubong berkenaan ditahan ketika dalam perjalanan menghantar pesanan makanan di sekitar lokasi operasi.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata pemeriksaan mendapati penunggang itu memiliki lesen memandu sah, namun motosikal Modenas Dinamik ditunggangnya tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sejak tiga tahun lalu.
“Dia mendakwa tidak dapat memperbaharui cukai jalan kerana motosikal itu dibeli atas nama kenalan yang kini gagal dihubungi.
“Semakan mendapati cukai jalan dan insurans luput sejak 27 Disember 2022, jadi kita terpaksa sita motosikal berkenaan,” katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu berkenaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Katanya lagi, bagi memastikan pesanan pelanggan tidak terjejas, lelaki itu dibantu dengan membonceng motosikal anggota JPJ berpakaian preman bagi menyelesaikan penghantaran terakhirnya di sekitar kawasan operasi.
Siti Zarina berkata, menerusi operasi itu 745 kenderaan diperiksa membabitkan 284 motosikal dan 461 kenderaan lain termasuk kereta.
“Sebanyak 72 kenderaan diambil tindakan dan 193 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiga disita iaitu dua motosikal dan sebuah kereta.
“Selain motosikal penghantar makanan, kita juga menyita sebuah lagi motosikal yang ditunggang warga asing kerana tidak memiliki lesen memandu sah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




