'Saya nak semua jadi jernih, kalau buat jahat, azab dunia dah pedih, macam mana pula alam sana' – Prince Syed

'Saya nak semua jadi jernih, kalau buat jahat, azab dunia dah pedih, macam mana pula alam sana' – Prince Syed

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: “Saya nak semua jadi kembali jernih semula, dalam dunia ini kalau buat kejahatan, azab dunia pedih, macam mana pula di alam sana.

“Kalau boleh (kita) perbetulkan,” kata pempengaruh dan usahawan, Prince Syed atau nama sebenarnya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman.

Prince Syed, 33, memberi reaksi itu selepas selesai prosiding pertuduhan membabitkan ibu bapa mentua juga dua iparnya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Menurut Prince Syed, kehadirannya ke mahkamah hari ini adalah untuk melihat sendiri prosiding berkenaan.

Dia tidak berseorangan sebaliknya hadir dengan ditemani isteri, Fatin Syazwani Ishak, 27, kakak, Syarifah Nur Syafiqah Syed Othman, 39, dan peguam pemerhatian, Navin Punj.

“Alhamdulillah, pada saya semuanya, berjalan lancar. Doakan kami, saya isteri dan keluarga kedua belah pihak.

“Satu saja, kalau boleh jernihkan, kita jernihkan. Dunia ini (kita) tak hidup lama, benda gaduh atau perselisihan faham tak perlu dalam kekeluargaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Prince Syed berkata, dia berharap, apa yang berlaku menjadi titik tolak untuknya bermuhasabah dan memperbetulkan diri.

Bapa dua anak itu juga enggan mengulas lanjut mengenai prosiding membabitkan keluarga mentuanya kerana mahu menghormati mahkamah dan sistem perundangan.

“Tak boleh cakap lebih, saya serahkan kepada peguam (peguam pemerhati).

“Cukup sampai di sini, kalau ada apa-apa, saya akan bagi kenyataan pada satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Navin berkata, kehadirannya ke mahkamah hari ini adalah atas kapasiti sebagai peguam pemerhati.

“Kes ini dibawa dibawa dan dikendalikan pendakwa raya, kita hanya membantu memaklumkan kepada mahkamah.

“Teguran saya kepada semua, sekiranya boleh, hormati proses mahkamah, jangan buat spekulasi tak berasas. Sama ada mengaku bersalah atau tidak itu hak tertuduh.

“Sebenarnya kita tak mohon syarat tambahan (dalam prosiding) cuma maklum dan mohon mahkamah beri teguran kepada tertuduh untuk tidak membincangkan perkara tidak sepatutnya di laman sosial semasa prosiding masih berjalan.

“Namun mahkamah berpendirian syarat tambahan tidak perlu dikeluarkan dan kita ambil maklum,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, ibu bapa mentua Prince Syed, Aminah Haniffa, 55, dan Ishak Saif, 59, juga anak mereka Muhammad Ikhwan Alif didakwa atas pertuduhan mencederakan pempengaruh berkenaan.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top