Sembunyi guni ganja atas pokok bakau

Sembunyi guni ganja atas pokok bakau

am@hmetro.com.my

Kangar: Taktik sindiket penyeludupan dadah menyembunyikan ganja di atas pokok bakau di kawasan paya berhampiran Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila lebih 40 kilogram (kg) bahan terlarang itu dirampas baru-baru ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis memeriksa kawasan hutan bakau berkenaan pada 1.30 pagi 24 Ogos lalu selepas mendapat maklumat sebelum menemukan 51 ketulan mampat serta plastik lutsinar dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM378,000.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, ganja berkenaan ditemukan dalam guni putih dan plastik yang diletakkan di atas pokok bakau di kawasan paya bakau berhampiran kampung itu.

“Pemeriksaan menjumpai dua bungkusan guni serta satu bungkusan plastik yang ditinggalkan di atas pokok dan pemeriksaan selanjutnya menemukan 39 ketulan mampat dan 12 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Berat keseluruhan ganja yang ditemui itu adalah sebanyak 41.5 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM378,000,” katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Negeri Perlis di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya percaya bekalan ganja itu cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand melalui jalan laut beberapa jam sebelum itu.

“Ganja itu ditinggalkan di kawasan paya bakau itu sekitar dua jam sebelum ditemukan dan dipercayai menjadikan kawasan paya bakau itu sebagai transit .

“Siasatan awal kita mempercayai bekalan ganja itu diletakkan di atas pokok bakau untuk mengelak dihanyutkan air pasang.

“Bekalan ganja itu dipercayai untuk pasaran kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia untuk kegunaan 63,000 penagih dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top