Kuala Lumpur: Perkongsian gitaris terkenal, JoBranko di media sosialnya mengenai persediaan showcase Barbarik baru-baru ini pantas mencuri perhatian peminat.
Ia berikutan showcase anjuran Odeon KL & Rock Station dengan kerjasama @lashkar.entertainment ini diuar-uarkan turut menampilkan dua bekas anggota kumpulan rock terkenal Wings, iaitu Eddie (pemain bass) dan Black (dram).
Perkara itu bukan asing kerana semua sedia maklum, hubungan akrab mereka sudah lama terjalin sejak bersama Wings pada era 1990-an.
Malah mereka pernah bersama menghasilkan album studio ke-11 Wings, Mr Barbarik yang diterbitkan pada 2000 iaitu ketika Muss menjadi penyanyi Wings.
Muss menyertai Wings pada 1996 menggantikan Mel yang meninggalkan Wings pada 1995.
Sebelum itu Awie meninggalkan Wings pada 1993, namun menyertai Wings semula pada 2000 hingga hari ini.
Selain Mr Barbarik, Muss merakamkan empat album bersama Wings iaitu Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Double Trouble 2 (bersama Search) dan album raya, Puisi Aidilfitri.
Sementara itu, spekulasi hangat ini
turut diperkuatkan dengan penyebaran gambar-gambar Eddie dan Black bersama anggota Barbarik secara meluas di media sosial.
Wartawan Harian Metro sebelum ini cuba mendapatkan kenyataan rasmi dari JoBranko, namun dia menyerahkan kepada penganjur untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.
Begitu juga dengan Eddie dan Black yang kekal mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan sejak mengumumkan meninggalkan Wings pada 8 Oktober lalu.
Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak, tiket untuk showcase ini ‘laku keras’ dibeli peminat memandangkan kapasiti tempat duduk Odeon KL yang terhad dan boleh memuatkan sekitar 1500 hingga 1800 penonton sahaja.
Lokasi ini dahulunya adalah panggung wayang popular sebelum era millenium yang menayangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa.
Pentas Barbarik Live @Odeon KL akan berlangsung pada 12 Disember, jam 8:30 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




