surayaroslan@mediaprima.com.my
DALAM dunia moden yang serba pantas, wanita kini bukan sahaja berperanan sebagai isteri dan ibu, malah turut memikul tanggungjawab besar dalam kerjaya.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan dan pencapaian, ramai wanita bekerjaya berdepan cabaran besar dalam pengurusan tekanan emosi yang datang daripada pelbagai arah seperti tempat kerja, rumah tangga dan tuntutan sosial.
Keupayaan seseorang wanita mengawal emosi memainkan peranan penting dalam menentukan tahap produktiviti, kesejahteraan mental dan kebahagiaan hidup secara keseluruhan.
Justeru, pengurusan emosi yang baik menjadi kunci untuk kekal tenang, fokus dan positif dalam menghadapi tekanan harian.
Kenali dan akui emosi diri
Langkah pertama dalam mengurus emosi ialah dengan mengenali dan mengakui apa yang sedang dirasai.
Jangan menafikan perasaan marah, kecewa atau sedih kerana ia adalah reaksi semula jadi manusia. Sebaliknya, cuba fahami punca sebenar emosi itu supaya lebih mudah mencari jalan penyelesaian yang rasional dan matang.
Keseimbangan antara kerja dan kehidupan
Ramai wanita berjaya namun sering terperangkap dalam kesibukan tanpa sedar mengabaikan diri sendiri.
Amalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Tetapkan sempadan antara masa pejabat dan masa peribadi, serta berikan ruang untuk berehat, bersama keluarga dan melakukan perkara yang disukai.
Bijak urus masa dan keutamaan
Tekanan sering timbul apabila terlalu banyak tugas dilakukan serentak.
Gunakan senarai tugasan atau jadual keutamaan untuk memastikan setiap kerja disiapkan mengikut keperluan.
Elakkan kerja berlebihan yang boleh menjejaskan tumpuan dan emosi.
Jaga kesihatan fizikal dan mental
Tubuh sihat menghasilkan minda yang stabil. Pastikan tidur mencukupi, bersenam secara konsisten dan menjaga pemakanan.
Aktiviti fizikal seperti berjalan, yoga atau zumba bukan sahaja menyihatkan tubuh, tetapi juga merangsang penghasilan hormon endorfin yang membantu mengurangkan tekanan.
Luahkan dengan cara sihat
Elakkan memendam perasaan terlalu lama. Berkongsi masalah dengan rakan dipercayai, pasangan atau kaunselor boleh membantu meredakan tekanan.
Ada kalanya, sekadar didengari pun sudah cukup untuk menenangkan jiwa.
Amalkan kesedaran diri dan teknik tenangkan diri
Luangkan beberapa minit setiap hari untuk bernafas dalam, bermeditasi atau berzikir.
Amalan ini bukan sahaja membantu menenangkan fikiran, tetapi juga meningkatkan kesedaran diri terhadap perasaan dan tindakan sendiri.
Terima bahawa kesempurnaan bukan segalanya
Wanita sering meletakkan standard terlalu tinggi terhadap diri sendiri.
Tidak salah menjadi terbaik, tetapi elakkan tekanan untuk menjadi ‘superwoman’.
Belajar untuk berkata tidak apabila perlu dan beri ruang untuk berehat tanpa rasa bersalah.
Sokongan sosial dan spiritual
Sokongan daripada rakan sekerja, ahli keluarga atau komuniti wanita amat penting dalam mengekalkan kestabilan emosi.
Bagi wanita Muslim, mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui doa dan ibadat boleh menjadi sumber kekuatan dan ketenangan batin.
Raikan pencapaian diri
Setiap kejayaan kecil wajar diraikan kerana ia menjadi suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
Hargai usaha diri sendiri dan lihat sejauh mana perjalanan yang ditempuhi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




