JS-SEZ sumbang 81 projek RM24.4 bilion

JS-SEZ sumbang 81 projek RM24.4 bilion

kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), menunjukkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 dengan pelaburan diluluskan di bawah sektor pembuatan dan perkhidmatan berjumlah lebih RM56 bilion di Johor, didorong terutamanya oleh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Sebanyak 66.2 peratus daripada keseluruhan pelaburan negeri Johor datang daripada JS-SEZ dengan sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar melalui 81 projek bernilai RM24.4 bilion.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor pembuatan pula mencatat 97 projek bernilai RM12.7 bilion. Jumlah 178 projek di bawah kedua-dua sektor ini telah mewujudkan sebanyak 5,833 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, perkembangan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap usaha Malaysia dan Singapura dalam memacu pertumbuhan bersama melalui zon ekonomi khas itu.

“JS-SEZ bukan sahaja menarik pelaburan bernilai tinggi, malah memperkukuh rantaian bekalan serantau dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan,” katanya semasa pembentangan Kad Laporan Prestasi Suku Ketiga 2025 MITI, semalam.

Katanya, ekonomi Malaysia juga menunjukkan ketahanan kukuh dengan pertumbuhan positif dalam sektor eksport, pelaburan digital serta pembangunan industri strategik di bawah NIMP2030.

Sementara itu, laporan prestasi suku ketiga 2025 MITI menunjukkan peningkatan ketara dalam eksport bagi sektor sasaran termasuk elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, serta jentera dan peralatan.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport E&E meningkat 16.7 peratus kepada RM512.1 bilion, manakala eksport farmaseutikal melonjak 24.7 peratus kepada RM2 bilion. Sektor jentera dan peralatan turut mencatat pertumbuhan 14.4 peratus.

MITI dalam aspek promosi perdagangan luar berkata, hasil misi perdagangan dan pelaburan antarabangsa berjaya menjana RM33.56 bilion potensi eksport dan RM24.49 bilion potensi pelaburan.

Katanya, negara tumpuan termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Eropah memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur terhadap dasar ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, setiap misi yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan MITI bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi peluang konkrit membuka pintu pelaburan baharu yang mampu menjana pekerjaan dan meningkatkan produktiviti nasional.

“Trend pelaburan digital yang melonjak sejak 2021 menjadi antara pemacu utama ekonomi baharu negara dengan jumlah kelulusan mencecah RM335.3 bilion dalam tempoh empat setengah tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 70 peratus daripada pelaburan digital itu membabitkankan projek pusat data yang bukan sahaja menyediakan infrastruktur ekonomi digital tetapi juga menjana kesan gandaan 6.6 kali kepada ekonomi.

“Pelaburan hijau di bawah Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang dilancarkan pada 2024 kini mencapai nilai RM25.4 bilion, membabitkan 1,708 projek.

“Projek berkenaan merangkumi tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, biotenaga, ekonomi kitaran dan hidrogen hijau seiring matlamat Neutraliti Karbon 2050,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan terus memacu strategi pemulihan dan transformasi industri secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap global yang dinamik.

“MITI komited melaksanakan strategi pelaburan yang berpaksikan nilai, inovasi dan kemampanan serta memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai rakyat di semua peringkat,” katanya.

Selain itu, MITI dalam laporannya turut mengulas mengenai prestasi ekonomi di peringkat serantau di mana ASEAN mencatat kemajuan penting di bawah Pilar Ekonomi ASEAN 2025 dengan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) dilaksanakan sepenuhnya, manakala enam lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) juga menunjukkan kemajuan, meletakkan asas kepada ekonomi digital serantau bernilai AS$2 trilion (RM8.26 trilion) menjelang 2030.

Pada masa sama, ASEAN MSME Green Transition Centre dan Inclusive Business Forum dilancarkan bagi menyokong 10,000 PKS melaksanakan amalan lestari.

Pencapaian itu katanya menunjukkan komitmen Malaysia terhadap usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta mempercepatkan transformasi digital ASEAN.

“Kemajuan ini membuktikan bahawa ASEAN berada pada landasan kukuh untuk menjadi ekonomi digital bernilai AS$2 trilion menjelang 2030.

“Ia hasil daripada kemajuan dalam ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang sedang dibangunkan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, selain itu, ASEAN MSME Green Transition Centre dan Inclusive Business Forum telah dilancarkan dengan sasaran 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rantau ini mengamalkan amalan mampan.

Beliau berkata, dalam aspek tenaga, ASEAN turut menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Ini katanya memberikan pengurangan keamatan tenaga sebanyak 40 peratus berbanding tahap pada 2005.

Malaysia juga katanya memainkan peranan penting dalam memperkukuh rantaian bekalan dan memudahkan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA).

Peningkatan perjanjian itu katanya bukan sahaja memperkukuh integrasi serantau, tetapi turut membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk memanfaatkan potensi pasaran ASEAN.

Dua perjanjian penting turut dimeterai tahun ini iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dijangka memperluas akses pasaran dan mempelbagaikan hubungan perdagangan antarabangsa.

Dalam masa sama, Timor Leste juga diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu langkah besar ke arah pengukuhan perpaduan dan keterangkuman serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top