Stockholm: Tiga individu maut, manakala tiga lagi cedera selepas bas merempuh sekumpulan orang ramai yang berada di hentian bas pada waktu puncak, semalam.
Menurut polis, pemandu bas itu ditahan dan siasatan dibuka kerana menyebabkan kematian tanpa niat, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Jurucakap polis, Nadya Norton berkata, masih terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku di daerah Ostermalm itu dan pihaknya enggan membuat sebarang spekulasi.
Katanya penahanan pemandu adalah prosedur rutin bagi tujuan soal siasat sebelum status tahanannya diputuskan, manakala media tempatan pula melaporkan bahawa kejadian itu dipercayai satu kemalangan.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson menerusi hantaran di media sosial menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan kejadian itu sebagai suatu yang tragis yang meragut nyawa orang awam.
“Ingatan saya bersama mangsa dan keluarga mereka yang mungkin sedang dalam perjalanan pulang atau bertemu rakan ketika kejadian berlaku,” katanya.
Seorang saksi dikenali sebagai Michelle Mac Key memberitahu akhbar Expressen, bahawa dia melihat bas dua tingkat itu ‘menyapu’ keseluruhan barisan orang yang sedang menunggu di hentian bas.
Menurutnya, keadaan menjadi huru-hara dengan jeritan orang ramai yang cuba membantu mangsa cedera selain mayat yang terbaring di lokasi kejadian.
Michelle yang juga seorang jururawat bersama seorang doktor sempat menawarkan bantuan kepada pihak polis sebaik pasukan itu tiba sebelum mereka diminta berdiri berhampiran mayat mangsa.
Seorang lagi saksi yang tinggal berhampiran memberitahu Aftonbladet, dia terdengar bunyi dentuman kuat dari biliknya dan melihat bas terbabit kemalangan dan mangsa terbaring di jalan.
Susulan kejadian itu, sebahagian jalan sibuk di Valhallavagen ditutup bagi membolehkan unit forensik menjalankan siasatan, manakala kenderaan kecemasan beredar sejurus operasi menyelamat selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




