am@hmetro.com.my
Temerloh: Taktik seorang lelaki meraih pendapatan lumayan sehingga RM1,000 sehari hasil menjual air ketum terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan Op Hawk di Kampung Peragap, Kerdau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek lingkungan 30 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi selepas polis menemui 19 bungkusan plastik berisi air ketum hasil rebusan sendiri.
“Siasatan mendapati suspek menjual air ketum pada harga RM10 sebungkus, dengan anggaran jualan harian 100 bungkus, bersamaan kira-kira RM1,000 pendapatan sehari,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam serbuan kedua pada jam 2.15 pagi di Kampung Rumpun Makmur, Kuala Krau, pasukan sama menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.
“Pemeriksaan di rumah suspek menemukan heroin seberat 107.16 gram, syabu 116.55 gram dan pil yaba 36.45 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM16,000,” katanya.
Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Mohd Nasyim berkata, Op Hawk akan diteruskan bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




