'Hanya pemimpin Sabah mampu pimpin negeri ini, bukan orang luar'

'Hanya pemimpin Sabah mampu pimpin negeri ini, bukan orang luar'

am@hmetro.com.my

Beaufort: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan hanya pemimpin berasal dari Sabah yang mampu memimpin negeri itu dan bukannya orang luar.

Beliau berkata, aspek itu adalah kelayakan utama pihaknya memilih calon wakil rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), di samping aspek lain seperti kesetiaan dalam perjuangan parti.

“Siapa saja, apa pun latar belakang agama atau bangsa… yang paling penting, kita membangunkan negara dan negeri yang mewakili kita ini.

“Untuk kita naikkan (negeri Sabah) dari segi kewangan, kesejahteraan rakyat atau kestabilan politik, (penting) untuk dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang memang asal usulnya dari Sabah.

“Kita tidak ada bawa orang luar dan kita juga tidak pilih orang yang suka melompat-lompat (dari parti).

“Kita mahu orang yang sejati dalam perjuangan parti, sejati dalam BN dan bekerja walaupun dalam keadaan kalah atau menang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Kuala Penyu di Command Center Sweet Cottage Kampung Pintas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, rakyat akan mendapat manfaat yang sepatutnya jika calon BN bagi

kerusi DUN Klias, Osin Jilon dan DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat memenangi PRN17.

“Datuk Siti Aminah Aching (Ahli Parlimen Beaufort) adalah salah seorang calon (daripada BN) yang berjaya menang di kawasan ini dan dia bekerjasama dengan dua calon kita.

“Kalau kedua-dua calon ini berjaya menjadi wakil rakyat kawasan ini, maka Beaufort mempunyai Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (daripada BN).

“Maka semua rakyat dalam kawasannya akan dapat. Sebab, kita dalam BN ini, kita tidak (bersikap) pilih bulu,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan jentera bagi kawasan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top