Petaling Jaya: Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pelbagai kes yang melibatkan pelajar di kawasan sekolah. Lebih membimbangkan lagi, kes yang terbabit sebahagiannya adalah jenayah-jenayah berat yang terdiri dari kes pembunuhan, buli, rogol dan lain lain. Isu-isu ini jelas memerlukan kepada penyelesaian yang tuntas dalam menoktahkan keraguan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa, secara tidak langsung meleraikan persoalan berkenaan status sekolah yang kini masih lagi tempat yang selamat dan menyeronokkan untuk menuntut ilmu atau sebaliknya. Berteraskan kepada ajaran Islam, agama dilihat sebagai wadah dalam memangkin kemenjadian institusi pendidikan yang berkesan.
“Ini bukan lagi salah laku kecil seperti murid bising atau tidak siap kerja rumah. Ini sudah jenayah berat dalam kawasan sekolah,” kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Anuar Ahmad.
Timbalan Menteri Pendidikan berkata dalam dewan Parlimen, KPM menegaskan bahawa pihak Kementerian tidak akan berkompromi dengan segala bentuk salah laku dan buli di sekolah. Dalam kenyataan beliau, Pelaksanaan Program Sekolah Selamat diluluskan bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat agar aktiviti pembelajaran pengajaran dan kokurikulum dapat dilakukan tanpa gangguan.
Namun yang demikian, peranan agama dalam melestarikan sistem pendidikan yang efisien, khususnya di Malaysia tidak dapat untuk dinafikan mahupun dipandang enteng. Islam telah menggariskan banyak perkara dalam kehidupan ini agar dijadikan sebagai panduan agar tidak terjerumus dalam lembah kebinasaan. Melihat kepada isu pendidikan di Malaysia ini, ibu bapa dilihat memainkan peranan yang utama dan penting dalam mencorak kemenjadian anak-anak mereka. Hal ini kerana disitulah asas nilai, akhlak dan kemahiran awal anak-anak dibentuk yang menjadikan ia sekolah pertama mereka. Sebagai ibu bapa, pembentukan nilai dan sahsiah wajar diterapkan dalam kehidupan berkeluarga termasuklah pendidikan keagamaan sebagai benteng kepada kepincangan yang berlaku pada dunia kini.
Dalam pada itu, isu pendidikan yang semakin gawat diperkatakan tidak dapat untuk dipisahkan dengan peranan guru yang merupakan pelaksana utama kepada kemajuan kokurikulum dan prestasi akademik pelajar di sekolah. Salah satunya adalah melalui pengukuhan kefahaman terhadap tujuan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam pembangunan peribadi pelajar sekolah. Keberkesanannya mampu melahirkan pelajar yang unggul dari aspek akhlak dan sahsiah yang terpuji. Ia sekaligus menoktahkan Isu-isu negatif yang semakin membimbangkan pelbagai pihak yang berkaitan di dalam sekolah.
Dalam pada itu, kerajaan berperanan dalam memberi penyelesaian secara keseluruhan kepada isu yang tidak berkesudahan dan semakin membara ini. Melalui kesepakatan pihak kerajaan, penubuhan Jawatatankuasa Khas dibentuk bagi menangani isu buli yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Pendekatan kerajaan akan meluaskan skop tumpuan daripada hukuman semata-mata, kepada penekanan terhadap aspek pemulihan, perlindungan kanak-kanak dan langkah-langkah pencegahan.
Melalui sudut pandang agama, ia selari dengan tuntutan Islam di mana dalam memelihara keadaan dan keselamatan umat sejagat, usaha menyeluruh perlu dilakukan bagi membasmi kegiatan negatif ini yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masa hadapan. Menurut Prof Madya Dr Muhd Al-Adib, Pesuruhjaya Kanak-kanak, SUHAKAM, istilah buli tidak disebut secara literal dalam Al-Quran, namun terdapat banyak ayat yang boleh dijadikan asas panduan dan pedoman dalam memahami keburukan melakukan kekejaman terhadap orang lain.
Al-Quran jelas melarang segala bentuk penghinaan ejekan serta gelaran yang menjatuhkan maruah, melalui surah Al-Hujurat ayat 11, Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; …dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”
Oleh itu, menjadi tanggungjawab pelbagai pihak khususnya ibu bapa, guru dan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan sekolah terus terjamin sebagai tempat yang kembali menjadi institusi ilmu yang melahirkan ramai generasi bijak pandai dan berdaya saing, melalui pendedahan ilmiah dan berhikmah, bukannya menjadi generasi mundur yang berbalik kepada zaman Arab jahiliyah terdahulu. Tokoh ilmuwan hebat seperti Imam An-Nawawi boleh dijadikan pedoman kepada generasi penuntut kini. Beliau terkenal dengan gelaran Muhyiddin, iaitu yang menghidupkan agama dengan ilmu-ilmu, pengajaran dan kupasan tentang Islam, boleh dijadikan contoh teladan yang baik dalam menelusuri bidang keilmuan berteraskan tekad dan usaha yang berterusan.
Oleh: HAZLINDA BINTI HAMZAH
PELAJAR TAHUN 3,SARJANA MUDA USULUDDIN (SEJARAH, TAMADUN & PENDIDIKAN ISLAM),
FAKULTI AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA (UM).



