Petaling Jaya: Bahagia yang dimiliki oleh generasi Alpha hanya dengan menunjukkan jari mereka sahaja maka semudah itu semua yang diiginkan pasti tercapai. Jika inginkan intan permata sekalipun pasti impian itu dipenuhi bukan sekadar angan – angan kosong yang berlalu pergi dibawa angin. Dek kerana kesusahan ibu bapa yang membesar dalam lingkungan generasi Milenial yang hidup dalam asuhan serta didikan daripada “Baby Boomers” dimana rotan dan hukuman menjadi peralatan wajib dalam mendidik dan membesarkan mereka. Namun apabila mereka telah bertukar status menjadi Ibu dan Bapa maka mereka lebih memilih untuk menggunakan konsep “Gentle Parenting” sebagai kaedah baru dalam mendidik anak – anak mereka iaitu gen Alpha ini kerana menggangap ianya satu benda yang baik dan kepahitan serta kesusahan hidup mereka tidak perlu diwarisi kepada anak mereka.
Namun tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa sewajarnya mendidik anak anak mereka itu bermula dengan agama yakni diasuh dengan cara yang diredhai oleh Allah swt seperti yang dijelaskan dalam kitab suci Al – quran surah Luqman ayat ke-17 “Wahai anak kesayangku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersarbarlah atas segala bala bencana yang menimpamu…”
Dengan memberikan segala kesenangan dan kemewahan maka ibu bapa ini berfikir bahawa mereka telah berjaya membesarkan anak – anak mereka dengan baik dan menolak sebarang teguran atau sentuhan terhadap anak mereka dimana ia sebenarnya secara tidak langsung membentuk peribadi yang sebenar dalam diri anak itu menjadi lebih bertanggungjawab dan mengamalkan nilai etika malahan mereka hanya berfikir bahawa segala yang diberikan adalah yang terbaik padahal mungkin mereka tidak nampak saat ini dan tidak berfikiran lebih jauh tentang akibat yang mungkin meletus dek perbuatan mereka. Persoalannya bagaimana tingkahlaku anak yang diasuh itu pada hari – hari yang akan mendatang?
Cabaran yang datang menerpa tidak mungkin dapat dihadapi dengan baik oleh generasi Alpha ini kerana tidak ada jati diri yang utuh walau sebesar buih di lautan jika dimanjakan dengan kain sutera sejak dilahirkan. Maka generasi Alpha akan menjadi seperti “Parasite” kerana hidup mereka perlu bergantung harap kepada orang lain kerana masalah yang datang tidak mampu diselesaikan. Jati diri yang sememangnya dimiliki oleh setiap insan tetapi hari ini telah hilang kerana dikambus sendiri oleh tangan – tangan ibu bapa yang mahukan hidup anak mereka itu tidak perlu susah membanting tulang dengan kudrat mereka tetapi dilakukan dengan kudrat ibu bapa yang merelakan perkara ini terjadi.
Apabila masalah timbul yang hanya akan dilakukan adalah dengan perkara – perkara yang tidak sepatutnya seperti pengakhiran yang tidak diiginkan, melakukan sesuatu diluar batas agama dan semestinya mereka akan mula mempersoalkan takdir dalam hidup. Segala tindak – tanduk generasi Alpha pada masa kini bukan dihiasi dengan teguran atau nasihat namun konten – konten yang memenuhi ruang kaca maya menjadi pilihan dihati. Sudut pandang dari agama juga menjadi isu yang genting apabila generasi ini ada yang memilih untuk tidak mempercayai kewujudan tuhan dan menolak bukti – bukti skrip lama yang telah menjadi panduan hidup sejak zaman penurunan wahyu lagi.
Ibu bapa yang pada asalnya berfikir mereka telah berjaya membesarkan anak mereka dengan baik tapi mereka terlupa bahawa hubungan yang toksik mula membiak dalam keluarga itu sendiri seperti yang kita dapat lihat anak yang disangka anak harapan itu telah merosakkan anak gadis orang lain, yang disangka pendiam itu telah menikam insan yang tidak berdosa. Tindakan yang dianggap salah itu telah berjaya menguasai pemikiran generasi Alpha kerana telah menjadi suatu tradisi apabila melakukan jenayah dianggap hanya perkara biasa oleh mereka.
“Buli bukan pelik tapi biasa, jenayah bukan salah tapi tradisi”, adakah itu pemikiran yang bermain dalam kotak fikiran gen Alpha? Maka, siapakah sepatutnya yang dipersalahkan? Adakah anak itu atau adakah ibu bapa itu sendiri ataupun adakah salah itu milik kerajaan? Didikan sebenar harus terlebih dahulu bermula dari rumah bukan untuk membawa kepada derita tetapi kepada jalan yang menempuh kehidupan abadi yang menjadi rahsia semenjak hari diciptakan bumi kerana firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 33 yang membawa mafhum “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun..”.
Oleh: Amira Syahira Binti Amizun
Pelajar Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Alamat Emel: miraira.syah03@gmail.com



